Usahawan dari Malaysia, Arsyan Ismail, telah mencipta sejarah dalam dunia teknologi global dengan penjualan nama domain premium ‘ai.com’ pada harga AS$70 juta (~RM276 juta).

Transaksi yang dibayar sepenuhnya menggunakan mata wang kripto ini kini dicatatkan sebagai harga jualan domain tertinggi yang pernah didedahkan kepada umum. Ia mengatasi rekod terdahulu milik CarInsurance.com yang dijual pada harga AS$49.7 juta pada tahun 2010.

Pembeli domain tersebut dikenal pasti sebagai Kris Marszalek, Ketua Pegawai Eksekutif Crypto.com. Beliau memperoleh aset digital berkenaan pada April 2025 melalui perantaraan broker Larry Fischer.

Pembelian strategik ini dilakukan sebagai persediaan untuk melancarkan platform kecerdasan buatan (AI) pengguna di bawah jenama ai.com. Ia dijangka akan diperkenalkan secara rasmi menerusi iklan komersial semasa acara Super Bowl LX hujung minggu ini.

Menurut Marszalek, pemilikan domain kategori utama seperti ini adalah kritikal bagi pengiktirafan jenama dalam pasaran teknologi yang kompetitif.

“Terdapat keinginan besar bagi kami untuk memiliki titik sentuh (touchpoint) ini, jika tidak anda akan menjadi komoditi,” jelas Marszalek mengenai rasional di sebalik pelaburan besar tersebut.

Platform baharu ini akan menampilkan ejen AI peribadi yang direka untuk membantu pengguna melaksanakan pelbagai tugasan harian. Antaranya penghantaran mesej, pengurusan aplikasi, dan perdagangan saham.

Perkhidmatan ini akan mengenkripsi data pengguna menggunakan kunci individu, memastikan keselamatan maklumat peribadi pengguna terjamin.

Walaupun dilaporkan menerima tawaran lumayan untuk menjual semula domain tersebut, Marszalek berhasrat untuk mengekalkan pemilikan ai.com. Beliau memaklumkan ia bertujuan membina kepercayaan jangka masa panjang.

Tinggalkan komentar