DJI telah melancarkan model gimbal kamera baharunya, DJI RS 5, untuk pasaran China dan Hong Kong. Gimbal baharu ini hadir dengan membawa beberapa pembaharuan dari segi perisian dan perkakasan.

Menumpukan pada ketepatan penjejakan dan peningkatan algoritma penstabilan model ini dilihat berbeza dengan siri terdahulu. Malah, tiada varian ‘Pro’ diperkenalkan bersama pelancaran ini.DJI RS 5 dilengkapkan dengan algoritma penstabilan yang telah dioptimumkan generasi baharu untuk mengendalikan pergerakan yang kompleks serta gegaran spontan.

Menurut DJI, kemaskini ini berupaya mengurangkan gegaran mikro (micro-shakes) dalam pelbagai senario penggambaran. Termasuk ketika pengguna sedang berlari atau melakukan rakaman dari sudut rendah.

Bagi memudahkan pengguna, gimbal ini mengekalkan ciri kunci paksi automatik (automatic axis locks). Ia membolehkan motor dikunci dengan pantas apabila dimatikan atau diletakkan dalam Mod Tidur.

Penambahan baharu, penunjuk penstabilan paksi-Z pada skrin, berfungsi sebagai bantuan visual untuk proses pengimbangan yang lebih tepat. Ia bertujuan menghasilkan rakaman yang lebih stabil.

Dari aspek penjejakan subjek, RS 5 kini menyokong Enhanced Smart Tracking menerusi modul penjejakan baharu DJI. Sistem ini membolehkan imej dipaparkan pada skrin gimbal dan mampu menjejak subjek seperti manusia, kenderaan, atau haiwan peliharaan sehingga jarak 10 meter. Pengguna juga boleh mengawal penjejakan ini melalui gerak isyarat (gestures) atau input skrin sentuh.

Spesifikasi dan ciri-ciri utama DJI RS 5

  • Kapasiti Beban (Payload): 3kg (sama seperti DJI RS 4).
  • Jangka Hayat Bateri: Sehingga 30 jam penggunaan.
  • Pengecasan: Pengecasan pantas ke kapasiti penuh dalam masa kira-kira satu jam.
  • Ciri Tambahan: Penjejakan subjek sehingga 10 meter dan rekaan pemegang ergonomik baharu.

Di pasaran Hong Kong, DJI RS 5 dijual pada harga bermula HKD3,399 (kira-kira RM1,767), meletakkannya di antara model RS 4 dan RS 4 Pro dalam barisan produk DJI. Setakat ini, DJI masih belum mengesahkan tarikh ketersediaan atau pelancaran rasmi untuk pasaran antarabangsa.

Tinggalkan komentar