DJI secara rasminya melancarkan produk gimbal telefon pintar baharunya DJI Osmo Mobile 8 di pasaran China pada 23 Oktober 2025. Gimbal ini membawakan beberapa naiktaraf signifikan berbanding generasi sebelumnya.
Antaranya keupayaan pusingan 360 darjah tanpa had dan sistem penjejakan yang lebih canggih. Buat masa ini, ia hanya tersedia di China dengan harga bermula daripada 898 Yuan (kira-kira RM532).
Osmo Mobile 8 mengekalkan teknologi penstabilan 3-paksi yang menjadi ciri khas DJI, namun kini ia ditambah dengan keupayaan pusingan mendatar 360 darjah tanpa had.
Fungsi ini membolehkan pengguna merakam video panorama yang lancar dan menghasilkan syot penjejakan subjek yang dinamik tanpa sebarang halangan. Gimbal ini turut mengekalkan rod sambungan terbina dalam untuk memberikan fleksibiliti semasa penggambaran dari sudut rendah atau untuk swafoto.
Naik taraf yang ketara
Penaiktarafan paling utama adalah pada modul penjejakan pelbagai fungsi yang baharu. Modul ini menggabungkan sistem penjejakan, rakaman audio, dan lampu isian (fill light) dengan tahap kecerahan serta suhu warna yang boleh laras.
Sistem penjejakan ini dikuasakan oleh ActiveTrack 7.0, yang menjanjikan penjejakan subjek lebih lancar dan boleh dipercayai walaupun dalam persekitaran kompleks. Menariknya, sistem ini turut menyokong penjejakan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing, memastikan subjek sentiasa berada di dalam bingkai.
Menurut DJI, pengapit magnetik generasi keempat telah direka semula untuk menjadi lebih kuat bagi menyokong telefon pintar yang lebih besar dan berat. Ia turut termasuk yang mempunyai modul kamera membonjol. Hayat bateri gimbal ini mampu bertahan sehingga 10 jam penggunaan. Ia juga menyokong pengecasan berbalik melalui port USB-C untuk mengecas telefon pintar pengguna
DJI Osmo Mobile 8 kini boleh dibeli di China melalui kedai dalam talian dan fizikal DJI, serta platform e-dagang seperti JD.com dan Tmall. Harga untuk set standard ialah 898 Yuan (~RM532), manakala kit Vlog ditawarkan pada harga 997 Yuan (~$140). Buat masa ini, tiada maklumat rasmi mengenai tarikh pelancaran untuk pasaran global, namun beberapa laporan mencadangkan ia mungkin akan diperkenalkan pada bulan November.













