DJI secara rasminya telah mengumumkan Osmo 360, model pertama kamera 360 darjah keluarannya. Diketengahkan sebagai model mercu, kamera aksi baharu ini menampilkan senibina sensor rekaan tersuai yang membolehkan rakaman video 8K dan tangkapan imej beresolusi tinggi.

Osmo 360 direka dengan bentuk yang kompak dan ringan pada 183 gram. Ia dibina bagi ketahanan dengan penarafan IP68 dan boleh digunakan di dalam air pada ke dalaman 10 meter tanpa casing tambahan. Asalkan bahagian port dan baterinya ditutupi dengan kemas.

Kameranya menampilkan sensor imej HDR petak, yang dikatakan menawarkan penggunaan sensor yang lebih cekap berbanding rekaan berbentuk segi empat tepat biasa. Menurut DJI, rekaan ini mencapai lebih 25% kawasan sensor boleh pakai ketika tangkapan 360 darjah. Sensor ini dipadankan dengan lesna pantas f/1.9 dan 2.4μm menjanjikan julat dinamik lebih baik, perincian lebih jitu, prestasi dalam keadaan kurang pencahayaan dipertingkatkan, dan julat dinamik sehingga 13.5 senggatan.

Sensor Imej yang berkuasa

Di dalamnya, Osmo 360 dilengkapkan dengan sensor CMOS Jenis 1/1.1-inci yang membolehkannya menangkap imej panoramik pada 120MP, dan imej 30.7MP dalam mod lensa tunggal. Ia juga didakwa sebagai kamera 360 darjah pertama yang berkeupayaan merakamkan video 360-darjah dalam 8K pada 50 bingkai per saat, dengan mampu mengekalkan 8K pada 3fps sehingga 100 minit.

Selain daripada keupayaan rakaman 360 darjah, Osmo 360 boleh juga digunakan sebagai kamera aksi berlensa tunggal. Anda boleh menukar antara lensa hadapan dan belakangnya tanpa mengganggu rakaman, dan di dalam mod lensa tunggal, ia boleh merakamkan sehingga 5K pada 60fps atau 4K pada 120fps dengan pilihan medan pandangan lebar.

Dari segi cirinya, kameranya ini menyertakan sokongan kayu swafoto halimunan, pengarasan ufuk automatik, kawalan gesture dan suara, penjejakan autofokus pintar, dan tangkapan video berkelajuan tinggi 4K120p. Ia juga menyokong fotografi 360 darjah, dengan suntingan dilakukan menerusi aplikasi mudah alih khusus dan pemalam untuk Adobe Premiere.

Baterinya menawarkan penggunaan sehingga 100 minit untuk rakaman video 8K30p yang boleh dilanjutkan sehingga 80 minit menggunakan aksesori tambahan Battery Extension Rod. Pengecasan pantas juga disokong dengan pengecasan sehingga 50% kapasiti dalam tempoh 12 minit.

Osmo 360 kini boleh didapati menerusi kedai rasmi DJI di Shopee. Standard Combo berharga RM1,879 dan didatangkan dengan aksesori penting seperti kantung perlindungan, kabel USB-C, pelindung lensa, dan bateri.

Buat anda yang inginkan kit yang lebih lengkap, Adventure Combo turut ditawarkan pada harga RM2,369. Ia menawarkan aksesori tambahan ekstra seperti kayu swafoto halimunan, adapter pelepasan seger, bekas bateri berbilang fungsi dan dua bateri ganti.

Tinggalkan komentar