Sekumpulan pekerja dan bekas pekerja Microsoft bersama-sama ahli-ahli komuniti mengadakan demonstrasi bantahan di ibu pejabat Microsoft di Redmond, Washington. Demonstrasi anjuran No Azure for Apartheid sejak semalam ini menghimpunkan peserta di kawasan East Campus Plaza yang telah ditukarkan nama oleh para demonstran sebagai “Plaza Kanak-Kanak Palestin Syahid (The Martyred Palestinian Children’s Plaza).”

Beberapa barangan simbolik terhadap terhadap kesan kekejaman pendudukan rejim Zionis di Palestin seperti khemah-khemah pelarian telah dibawakan ke lokasi demonstrasi. Turut ditunjukkan, sepanduk besar bertulis “Stop Starving Gaza” dan meja rundingan untuk mendesak para eksekutif Microsoft menamatkan kerjasama dengan tentera Zionis Israel.

Kumpulan demonstran ini juga bercadang untuk kekal berhimpun memprotes di plaza berkenaan sehingga dihalau keluar. Usaha ini merupakan bantahan terhadap Microsoft dan para eksekutifnya yang bekerjasama dengan Israel.

April lalu ketika sambutan ulang tahun ke-50 Microsoft, seorang jurutera perisian dari bahagian AI Microsoft telah meluahkan kekecewaan secara terbuka ketika Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft AI Mustafa Suleyman sedang berucap. Pekerja berkenaan membuat desakan untuk berhenti membenarkan tentera Israel menggunakan produk-produk AI syarikat.

Dalam sebuah lagi acara Microsoft pada hari sama juga, seorang lagi jurutera perisian menunjukkan perasaan membantah ketika Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella sedang berucap.

Kedua-dua pekerja tersebut telah dibuang kerja serta-merta.

Pendedahan oleh media

Sebulan kemudian, pekerja-pekerja Microsoft menyatakan pihak syarikat telah mula menghalang email-email Microsoft Outlook yang mengandungi perkataan seperti “Palestine,” “Gaza,” “genocide,” “apartheid” dan “IOF off Azure.”

Kenyataan media dari No Azure for Apartheid, cabang Microsoft organisasi No Tech for Apartheid menyeru diadakan “gerakan terbesar setakat ini” mensasarkan Microsoft. Ia berikutan siasatan awal bulan ini oleh The Guardian dengan kerjasama +972 Magazine dan Local Call. Kerajaan Israel didedahkan sedang menyimpan rakaman dan data sehingga jutaan panggilan dalam setiap jam yang dibuat oleh rakyat Palestin.

Laporan tersebut menyatakan rekod panggilan ini digunakan secara langsung untuk menyokong kempen ketenteraan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Kumpulan aktivis kemanusiaan tersebut juga mengedarkan sebuah dokumen bertajuk, “Kami tidak akan menjadi alat di dalam mesin genosid Israel: Laungan Intifada Pekerja (We will not be cogs in the Israeli genocidal machine: a call for a Worker Intifada).”

Dokumen yang ditulis oleh pekerja, bekas pekerja dan ahli komuniti Microsoft berkesedaran ini menuntut Microsoft melaksanakan perkara berikut dengan segera:

  • Penamatan kerjasama dengan Israel
  • Menyeru menamatkan genosid dan kebuluran paksa
  • Ganti rugi kepada rakyat Palestin
  • Menghentikan diskriminasi terhadap pekerja warga Palestin, Arab, Muslim, dan Pro-Palestin
  • Melindungi kesemua pekerja yang terlibat dalam memberi kesedaran penindasan rakyat Palestin dari gangguan dan ancaman di tempat kerja

Turut diminta di dalam dokumen tersebut, gesaan kepada seluruh warga kerja Microsoft supaya bersuara, henti tugas, bantah dan mogok untuk memenuhi tuntutan tersebut. Gesaan turut dibuat kepada pekerja-pekerja di mana-mana syarikat yang mempunyai hubungan kerjasama genosid tersebut, sama ada dengan Israel atau Microsoft.

Dokumen berkenaan juga merujuk secara terus kepada kumpulan eksekutif Microsoft supaya menghantar ke alamat emel yang diberi bagi tujuan perundingan atau terus di meja rundingan yang ditempatkan di plaza ibu pejabat Microsoft.

Tinggalkan komentar