Empat bulan sesuadah melancarkan XPS 13 edisi 2020, Dell baru-baru ini telah membawakan dua buah lagi model laptop XPS baharu untuk tahun ini. Salah satu darinya, XPS 15 2020 akan memasuki pasaran Malaysia minggu ini.
XPS 15 2020 menampilkan banyak penambahbaikan berbanding keluaran sebelumnya. Salah satunya adalah bingkai yang lebih nipis di sekelilingnya.
Menurut Dell, rekaan ini menjadikan paparan laptop ini menjadi 15.6-inci dengan nisbah aspek 16:10, justeru menjadikan paparannya 5% lebih luas. Melalui resolusi maksima sehingga 4K, paparan laptop ini juga mempunyai 100% Adobe RGB dam 94% warna gamut DCI P3 dengan kecerahan maksimum 500-nit. Selain itu, paparan laptop ini juga menerima persijilan DisplayHDR400 dan Dolby Vision.
Rekaan model 2020 ini yang dikatakan oleh Dell sebagai rekaan semula besar-besaran XPS 15 sejak lima tahun lalu turut menyediakan rekaan kuad-pembesar suara yang dipertingkatkan oleh audio 3D Waves Nx.
Bukan itu sahaja, XPS 15 2020 ini juga dilengkapkan dengan mata papan kekunci 9.7% lebih besar berbanding model terdahulu serta pad sesentuh yang 62% lebih besar.
Untuk spesifikasinya, XPS 15 2020 menawarkan pilihan pemprosesan tertingginya Intel Core i9-10885H dan NVIDIA GeForce TX 1650 Ti dengan VRAM GDDR6 4GB. Ianya juga dilengkapkan dengan memori DDR4-2933 64GB dan SSD PCIe 3×4 2TB.
Setakat ini masih belum diketahui keseluruhan variasi-variasi yang akan memasuki ke pasaran Malaysia.
Laptop ini bakal memasuki ke pasaran Malaysia bermula dari 15 Mei 2020 dan boleh didapati menerusi laman web rasmi Dell Malaysia.













