Dell Technologies mengakui pengguna tidak membeli komputer peribadi (PC) berdasarkan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI). Kenyataan tersebut dibuat menjelang Consumer Electronics Show (CES) 2026.

Pengakuan ini hadir daripada Kevin Terwilliger, Ketua Produk Dell, dalam temu bual dengan PC Gamer yang diterbitkan pada 7 Januari 2026.

Terwilliger menyatakan, “Apa yang kami pelajari sepanjang tahun ini, terutamanya dari perspektif pengguna, mereka tidak membeli berdasarkan AI”.

Tambah beliau lagi, “AI mungkin mengelirukan mereka lebih daripada membantu mereka memahami hasil yang khusus”. Pengakuan jujur ini datang daripada salah satu rakan kongsi utama Microsoft dalam usaha menggalakkan penggunaan PC Copilot Plus yang diperkasakan AI.

Perubahan Pendekatan Produk 2026

Dell telah menjelaskan bahawa barisan produk 2026 mereka tidak akan berfokuskan AI sebagai keutamaan berbanding tahun sebelumnya.

Walaubagaimanapun, Terwilliger menegaskan bahawa syarikat tetap komited terhadap keupayaan AI, dengan setiap produk yang diumumkan dilengkapkan dengan Neural Processing Unit (NPU).

Dell dijangka akan mengubah strategi pemasaran selepas mendapati promosi AI yang berterusan tidak membantu meningkatkan jualan PC.

Implikasi kepada Industri

Dell merupakan pengeluar PC Windows pertama yang secara terbuka mengakui bahawa kempen AI PC tidak mencapai sasaran yang diharapkan.

Perkembangan ini berkemungkinan tidak menggembirakan Microsoft, yang telah membuat pelaburan besar dalam menggalakkan kitaran peningkatan dengan PC Copilot Plus sejak dua tahun lalu.

Dell sebelum ini merupakan antara rakan kongsi awal untuk pelancaran PC Copilot Plus pada 2024, dengan mengintegrasikan pemproses Qualcomm Snapdragon X Elite ke dalam siri laptop XPS 13 dan Inspiron.

Keperluan Pengguna Sebenar

Menurut analisis industri, pelanggan lebih mengutamakan aspek lain seperti hayat bateri, prestasi pemprosesan, dan kualiti paparan berbanding keupayaan AI semata-mata.

Langkah Dell mengurangkan pemasaran berfokuskan AI dijangka akan mendorong hala tuju syarikat teknologi lain. Ia mengambil kira kurangnya permintaan sebenar pengguna terhadap AI walaupun ia di’hype’kan sebagai penyelesaian masalah. Pada akhirnya AI sekadar ditunggang oleh pelabur-pelabur saham besar di Wall Street untuk mendapatkan laba semata-mata.

Tinggalkan komentar