Penggunaan dron kian dipertingkatkan dalam usaha mengekang penyebaran wabak pandemik COVID-19. Selain digunakan untuk memantau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak kerajaan juga sedang menguji penggunaan dron untuk tujuan sanitasi awam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini sedang menguji penggunaan dron untuk sanitasi awam di kawasan-kawasan bandar, termasuk di bangunan-bangunan tinggi.
Akhbar The Star melaporkan DBKL bergandingan dengan syarikat dron swasta bagi menilai tahap kesesuaian latihan penggunaan dron ini. Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri Annuar Musa menyatakan kerja sanitasi ini perlu di lakukan secara extensive termasuk di bangunan tinggi, jalan-jalan raya serta di tempat awam.
Pagi tadi selesai menguji kesesuaian penggunaan drones utk kerja sanitising and disinfecting kawasan Bandaraya.Kerja ini perlu di lakukan secara extensive termasuk di bangunan tinggi dan jalan jalan serta tempat awam.. pic.twitter.com/1Hc1nLYLyL
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) March 31, 2020
Ketua Jurutera Penyelidikan Dronology Sdn Bhd, David Amuthesan memaklumkan kegunaan utama dron-dron milik syarikatnya adalah untuk semburan pertanian, namun lapan muncung pada dron tersebut boleh disesuaikan untuk tujuan sanitasi. Dron tersebut juga mampu terbang untuk tempoh selama 20 minit dan boleh membawa sebanyak 16 liter bahan pencuci.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah menasihatkan pihak berkuasa tempatan supaya mengikuti prosedur operasi standard sanitasi awam yang telah ditetapkan oleh KKM.













