Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin telah mengumumkan pemberian data percuma 1GB setiap hari oleh syarikat telekomunikasi akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini, 31 Disember 2021.
Pelanjutan tempoh pemberian ini telah dinyatakan menerusi pengumuman inisiatif baharu PEMULIH yang bertujuan mengurangkan impak kewangan rakyat Malaysia sepanjang tempoh pemulihan ini.
Beliau turut menyatakan perlanjutan ini melibatkan kos berjumlah RM 500 juta dan akan memanfaatkan lebih 44 juta pelanggan di seluruh negara. Pemberian data percuma setiap hari ini pada asalnya telah dijadualkan akan tamat pada 31 Julai 2021.
Memandangkan tiada perubahan baharu diumumkan oleh pihak kerajaan berkenaan inisiatif ini, berkemungkinan syarat yang sama masih lagi dikekalkan. Ini bermakna, data percuma 1GB yang diterima hanya dikhususkan untuk kegunaan pembelajaran dalam talian dan kerja-kerja sahaja. Aktiviti dalam talian lain seperti media sosial, permainan berkomputer dan penstriman video tidak termasuk termasuk di dalam data percuma tersebut.













