KUALA LUMPUR, 12 Disember 2023 – Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi fokal ekosistem startup negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Startup India, sebuah agensi di bawah Kerajaan India untuk menubuhkan inisiatif “India – Malaysia Startup Bridge”.
“MOSTI menyambut baik kerjasama dengan Kerajaan India dalam memajukan sains, teknologi dan inovasi (STI), khususnya dalam bidang teknologi angkasa lepas, nuklear, semikonduktor, nanoteknologi, hidrogen, bioteknologi termasuk pembangunan vaksin, dan dalam bidang-bidang lain yang boleh membantu mengukuhkan ekosistem startup dan inovasi dari peringkat akar umbi,” kata YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Hubungan kerjasama ini telah dimeterai dalam sesi pertukaran surat kerjasama antara Cradle dan Startup India yang telah disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan TYT P. Kumaran, Timbalan Menteri Luar Negeri India.
Kerjasama ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara dua negara ini. Kerjasama melangkaui sempadan ini juga merangkumi peluang rangkaian dalam kalangan startup, pertukaran amalan operasi terbaik dan sesi pembangunan kapasiti.
Kerjasama ini turut membolehkan membantu startup, pelabur, inkubator (incubator) dan bakal usahawan daripada kedua-dua negara untuk berhubung antara satu sama lain,
dalam masa yang sama, menyediakan keperluan untuk mereka
mengembangkan bisnes ke peringkat global.
Kerjasama ini juga selari dengan matlamat yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, iaitu membantu startup tempatan menembusi pasaran global serta membantu meningkatkan daya saing mereka.
Antara lain, kerjasama “India – Malaysia Startup Bridge” ini juga bertujuan untuk memperkasakan startup tempatan, inkubator dan bakal usahawan di Malaysia dan India dengan melancarkan akses pasaran di kedua-dua negara ini serta memanfaatkan peluang yang sedia ada. Kerjasama ini dijangka akan memberi manfaat kepada 3,800 startup yang disenaraikan dalam portal MYStartup yang dikelolakan oleh Cradle, dan kira-kira 116,000 startup di India yang berdaftar di bawah Startup India.













