Samsung dilaporkan kekal sebagai jenama nombor satu telefon pintar dunia melalui penguasaan pasaran globalnya sebanyak 20%, menurut laporan kajian oleh Counterpoint Research.
Hal ini didorong oleh tarikan jualan model terbaru keluarannya iaitu siri Samsung Galaxy S22. Model telefon pintar mercu keluaran terbaru ini juga didapati lebih tinggi hasil jualannya berbanding siri Galaxy S21.
Selain Samsung, Apple turut menunjukkan peningkatan jualan dari 17% pada suku pertama tahun lalu, kepada 19% pada suku pertama 2022. Ini seterusnya menjadikan Apple jenama kedua popular di seluruh dunia setakat ini menurut laporan tersebut.
Peningkatan ini turut didorong oleh pertambahan jualan Apple di China sejak Februari 2022 melalui populariti siri iPhone 13. Februari lalu, jualan Apple di China buat pertama kalinya melebihi jualan di Amerika Syarikat sejak April 2020.
Xiaomi pula kekal di tangga ketiga di dunia dengan kedudukan di tempat pertamanya di India masih lagi kekal utuh. Bagaimanapun, kedudukan Xiaomi di pasaran negara asalnya pula dijangka akan dicabar hebat oleh HONOR dan Apple berikutan peningkatan populariti dua jenama ini di China.
Here is an early look at the global #smartphone sales share in Q1 2022.@Samsung remains the #1 smartphone brand globally in 2021. @Apple’s market share likely to grow, driven by the #iPhone13 series. @OPPO & vivo maintained their positions.
Follow this space for more updates! pic.twitter.com/4VMNc06jYa
— Counterpoint (@CounterPointTR) April 19, 2022
Di tangga keempat dan kelima pula masing-masing dihuni oleh OPPO dan Vivo berdasarkan laporan oleh Counterpoint ini. Menurut laporan berkenaan juga, kelima-lima jenama ini menguasai pasaran telefon di seluruh dunia sebanyak 70%. Baki selebihnya, 30% pula dipegang oleh jenama-jenama lain.













