Sebilangan pelanggan CIMB menyatakan kebimbangan di Twitter mengenai beberapa transaksi di dalam akaun masing-masing yang dilabelkan sebagai “Direct Debit” melalui penyata menerusi aplikasi atau laman web CIMB Clicks.
Berbeza dengan jenis-jenis transaksi lain, transaksi debit langsung (direct debit) tidak menunjukkan keterangan yang boleh menerangkan dengan lebih lanjut transaksi berkenaan. Sesetengah pengguna bimbang jika transaksi tersebut berlaku tanpa pengetahuan mereka.
CIMB Bank bagaimanapun, memberi jaminan kepada para pelanggannya bahawa transaksi debit langsung dalam akaun mereka adalah transaksi kad debit yang sah.
GUYS PLEASE CHECK YOUR CIMB BANK ACCOUNT. I’ve lost RM100+ I had to go to the bank and renew my debit card. Ramai yang dah kene seperti di reply https://t.co/fohfX7A1mY
— Put (@Putforshort) April 3, 2020
Bernama melaporkan jurucakap CIMB memaklumkan insiden-insiden terpencil itu adalah berkenaan transaksi-transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan perkhidmatan penstriman dalam talian.
“Kami memohon maaf terhadap sebarang kekeliruan dan akan menghubungi pelanggan-pelanggan yang terbabit,” ujar jurucakap CIMB berkenaan.













