Beijing baru-baru ini mengambil langkah drastik dengan melarang syarikat teknologi gergasi negara itu seperti ByteDance dan Alibaba daripada membeli cip AI Nvidia. Antara cip yang dilarang melibatkan model H20 dan RTX Pro 6000D.

Pelaksanaan larangan tersebut dilihat sebagai strategi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi Amerika Syarikat. Keputusan ini juga merupakan isyarat jelas komitmen kerajaan China untuk memperkasakan industri semikonduktor tempatan.

Cyberspace Administration of China (CAC) telah mengarahkan syarikat utama seperti ByteDance, Alibaba dan Tencent untuk menghentikan ujian dan membatalkan pesanan cip Nvidia, walaupun sebelumnya telah membuat tempahan puluhan ribu unit.

Selain H20, cip RTX Pro 6000D khusus pasaran China turut dilarang serta-merta. Sebelum ini model tersebut dipasarkan sebagai alternatif kepada model lebih canggih yang dihalang masuk. CAC turut menegaskan cip keluaran tempatan seperti cip Huawei dan Cambricon kini diyakini setanding atau setara prestasinya dengan Nvidia H20 dan RTX Pro 6000D.

Arahan larangan ini dikeluarkan tidak lama selepas dakwaan Nvidia telah melanggar undang-undang anti-monopoli China. Kesannya, Nvidia berkemungkinan akan dikenakan denda mencecah 10% daripada pendapatan syarikat di China.

Selain itu, terdapat dakwaan bahawa cip Nvidia “tidak selamat” kerana berpotensi mengandungi backdoor dan spyware. Namun, Nvidia telah menolak dakwaan tersebut secara terbuka.

Terdahulu, kerajaan Amerika Syarikat telah mengehadkan eksport cip AI canggih ke China ketika pentadbiran Trump sebelum ini. Hubungan tegang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat terus berlarutan ketika era pentadbiran Biden dan diteruskan lagi pada pentadbiran kedua Trump sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, menyatakan kekecewaan beliau namun akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan.

Tinggalkan komentar