Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft AI, Mustafa Suleyman, menyuarakan rasa terkejutnya terhadap reaksi negatif pengguna baru-baru ini berhubung integrasi agresif Kecerdasan Buatan (AI) dalam ekosistem Windows.

Kenyataan ini hadir ketika Microsoft sedang berdepan kritikan bahawa tumpuan mereka terhadap ciri-ciri AI seperti Copilot dianggap mengganggu pengalaman pengguna dan tidak memenuhi janji pemasaran.​

Respons Terhadap Kritikan ‘Sinikal’

Dalam satu hantaran media sosial di platform X, Suleyman menolak pandangan bahawa teknologi AI semasa adalah “kurang memberangsangkan” (underwhelming). Beliau membandingkan kemajuan teknologi semasa dengan era telefon bimbit awal untuk menekankan lonjakan inovasi yang telah dicapai.

Komen ini dilihat sebagai respons langsung kepada sentimen negatif dalam talian, di mana pengguna semakin lantang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap hala tuju produk Windows.

Kena Kecam

Kenyataan Suleyman muncul sejurus selepas Presiden Windows, Pavan Davuluri, menghadapi tindak balas negatif (backlash) yang ketara daripada komuniti pengguna. Davuluri sebelum ini memuat naik kenyataan mengenai evolusi Windows menjadi “sistem operasi ejentik” (agentic OS), namun menerima respons yang begitu kritikal sehingga beliau terpaksa menutup ruangan komen pada hantaran tersebut.​

Menurut laporan, ketidakpuasan hati pengguna berpunca daripada beberapa faktor:

  • Isu Prestasi Copilot: Laporan terkini mendapati kemampuan Copilot pada masa ini tidak setanding dengan apa yang dipaparkan dalam iklan Microsoft, di mana AI tersebut sering gagal menyelesaikan arahan pengguna dengan lancar.​
  • Masalah Persepsi: Pengguna melihat obsesi Microsoft untuk menyuntik elemen AI ke dalam setiap permukaan antara muka Windows sebagai langkah yang tidak kena pada masanya, memandangkan terdapat isu asas platform Windows yang masih belum diselesaikan.​
  • Kempem Pemasaran: Terdapat persepsi bahawa visi AI Microsoft lebih kepada impian semata-mata berbanding realiti praktikal pada masa kini.​

Walaupun berdepan kritikan, Microsoft dilihat kekal dengan strategi agresif mereka melalui slogan baharu Windows: “Your canvas for AI”. Syarikat tersebut merancang untuk meneruskan pembangunan “ejen AI” yang direka untuk menyelesaikan tugasan bagi pihak pengguna.

Namun, penganalisis industri berpendapat Microsoft kini menghadapi masalah persepsi yang serius, di mana reputasi Windows berada pada tahap yang rendah akibat persepsi “perisian sarap” (bloatware) AI yang tidak diminta oleh pengguna.

Tinggalkan komentar