Celcom baru-baru ini telah mengumumkan pelan pascabayar terbarunya, MEGA. Ia menawarkan pelan pascabayar dengan harga asas bersama-sama dua set pilihan tambahan untuk disesuaikan berdasarkan langganan pilihan pengguna.
Bermula dari harga asas RM80 sebulan, Celcom MEGA memberikan kuota data internet 30GB pada setiap bulan. Walaubagaimanapun, pengguna diberikan pilihan untuk memilih dua penambahan berdasarkan kategori.
Salah satu pilihan kategori tersebut adalah pilihan “Internet Tanpa Had”. Melalui kategori pilihan ini, pengguna boleh memilih sama ada MEGA Unlimited M atau the MEGA Unlimited L. Tambahan bayaran RM18 sebulan akan dikenakan untuk MEGA Unlimited M bagi membolehkan pengguna menikmati data tanpa had selepas kuota 30GB habis digunakan. Halaju penggunaan data selepas mencecah kuota dihadkan kepada 5Mbps sahaja.
Bagi pilihan MEGA Unlimited L pula, pengguna turut ditawarkan penggunaan internet tanpa had dengan halaju penggunaan data ditetapkan pada 15Mbps. Pilihan ini memerlukan pengguna menambah sebanyak RM68 sebulan dari pakej asasnya.
Kategori satu lagi mengutamakan kelajuan penggunaan internet berbanding had kuota dan ianya digelarkan sebgai “Lightning Speed”. Melalui kategori ini, pengguna diberikan tiga pilihan iaitu MEGA M, MEGA L dan MEGA XL. Ketiga-tiga pilihan ini masing-masing menyediakan tambahan kuota data sebanyak 10GB lagi pada harga RM18, 30GB untuk RM68, dan 70GB untuk RM108.
Pengguna yang memilih kategori ini juga ditawarkan pulangan tunai untuk data-data yang tidak digunakan dan akan dimasukkan ke dalam akaun eDompet Boost. Ketika ini pulangan tunai dihadkan kepada RM5 untuk 10GB. Khusus pada pelan Lightning MEGA XL, pengguna bakal ditawarkan dengan perayauan percuma dengan penambahan zon.
Pakej ini juga boleh ditukar kategorinya apabila pengguna telah menggenapkan kitaran pengebilan pada setiap bulan dan boleh dilakukan secara terus melalui aplikasi Celcom Life. Selain itu, pengguna yang telah membuat pilihan penambahan kategori juga dibenarkan untuk kembali ke pakej asas MEGA sahaja.
Pengguna yang berminat untuk membuat pendaftaran pelan pascabayar Celcom MEGA boleh melakukannya melalui laman web rasmi Celcom.












