Perkhidmatan perbankan internet myBSN diperkenalkan bagi memudahkan pengguna menggunakan kemudahan perbankan secara dalam talian. Anda boleh mengakses ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) anda pada bila-bila masa walau di mana jua anda berada melalui internet.
myBSN membolehkan anda membuat semakan baki, membayar bil, membuat pemindahan wang dan sebagainya tanpa perlu beratur di bank-bank yang berhampiran anda.
Cara mendaftar perkhidmatan perbankan Internet myBSN
Sebelum mendaftar, pastikan anda adalah pemegang Akaun BSN dengan Kad ATM / Debit / Kredit BSN yang berusia 18 tahun ke atas. Untuk mendaftar, ikuti langkah-langkah seperti berikut:
- Klik pada bahagian log masuk pada laman web rasmi BSN atau pergi ke terus halaman rasmi myBSN di https://www.mybsn.com.my/. Anda boleh melakukannya sama ada melalui pelayar web pada komputer atau pun pada telefon pintar anda.
- Seterusnya, pada halaman log masuk berkenaan anda boleh pergi ke ‘Register’
- Anda kemudian di bawa ke halaman terma dan syarat. Baca keseluruhan isi kandungannya dan tekan ‘Accept’ jika anda bersetuju dan tekan butang ‘Next’ untuk langkah berikutnya.
- Masukkan maklumat pada ruangan yang disediakan seperti Nombor Kad Debit / Kad Kredit, Nombor Pin (untuk Kad Debit Sahaja), tarikh tamat tempoh Kad, CVV2 dan juga nombor Kad Pengenalan baru / Kad Pengenalan lama / nombor Passport.
- Masukkan ID Pengguna baru, mohon dan masukkan Kata Laluan Satu Kali (OTP) dan pilih gambar keselamatan. Selesai mendaftar, anda boleh melihat senarai akaun di menu ‘Account Overview’.
- Untuk melakukan transaksi perbankan seterusnya di dalam Perbankan Internet, anda perlu membuat pengesahan diri kali pertama melalui panggilan ke Pusat Khidmat Pelanggan BSN di talian 1-300-88- 1900 atau +603-2613 1900 (luar negara). Pusat Khidmat Pelanggan BSN beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Kelebihan menggunakan perkhidmatan perbankan internet myBSN
- Pemindahan dana ke akaun BSN anda dan akaun BSN lain
- Pembayaran bil pada bila-bila masa, di mana-mana jua
- Pembayaran Kad Kredit atau kad kredit pihak ke-3
- Permohonan membuat penukaran PIN kad kredit
- Menguruskan kad debit seperti membuat kemaskini had pembelian, status transaksi luar negara, status urusan pembelian dalam talian dan membuat laporan kad hilang atau dicuri
- Membuat simpanan e-SSP untuk masa depan anda
- Membuat pembelian nombor ID unik atau nombor PIN untuk pendaftaran institut pengajian tinggi seperti UPU Online
- Membuat isian semula tambah nilai prabayar
- Urus bayaran berkala anda ke akaun BSN dan akaun di bank lain secara dalam talian
- Pembayaran pembiayaan ke semua akaun Pinjaman BSN (Pinjaman Peribadi, Pinjaman Perumahan dan Sewa Beli)
- Muat turun e-Penyata myBSN secara dalam talian
- Membuat permohonan e-Saver dan kad kredit BSN secara dalam talian
Maklumat lanjut mengenai myBSN, kunjungi https://www.bsn.com.my/page/bsn-internet-banking