Siri anime bertemakan sukan adalah sesuatu yang sudah menjadi kelaziman dan genre ini boleh dikatakan agak popular. Antara judul popular termasuklah Prince of Tennis, Initial D, Slam Dunk dan Captain Tsubasa.
Kini, salah sebuah judul anime bergenre sukan yang paling popular, Captain Tsubasa telah diadaptasikan ke permainan elektronik terbaru dan bakal diterbitkan pada tahun 2020. Dikenali dengan tajuk Captain Tsubasa: Rise of New Champions, permainan ini pastinya mengimbau nostalgia bagi peminat yang membesar dengan siri anime dan manganya.
Permainan Captain Tsubasa: Rise of New Champions ini merupakan sebuah permainan bola sepak. Namun, ia mempunyai ciri keunikannya sendiri kerana memasukkan elemen anime ke dalam permainan berkenaan.
Antara yang dimaksudkan adalah kesan dramatik anime seperti menyepak bola terlalu kuat hingga bola berubah kepada bentuk bujur, kesan aura berwarna-warni, rembatan padu sehingga bola menjadi berapi serta kesan khas harimau muncul di belakan gbila pemain ‘naik syeikh’.
Captain Tsubasa merupakan siri manga dan anime Jepun yang sudah lama muncul menceritakan tentang Tsubasa, seorang kanak-kanak yang mengimpikan menjadi pemain bola sepak profesional. Sejak siri ini dihasilkan oleh YĆichi Takahashi pada tahun 1981, siri ini sudah diterbitkan di dalam ratusan siri manga, beberapa adaptasi anime dan lebih dari sedozen judul permainan video.
Kebanyakan judul permainan video terkini siri Captain Tsubasa hadir dalam platform peranti mudah alih. Rise of the New Champions merupakan permainan Captain Tsubasa pertama dihasilkan untuk konsol permainan sejak kali terakhir muncul pada 2006 melalui platform PlayStation 2.
Captain Tsubasa: Rise of the New Champions akan diterbitkan pada sekitar tahun 2020 untuk PlayStation 4, Nintendo Switch, dan PC (Steam).
Sumber berita diperoleh dari Kotaku