Utama Mobile Aplikasi BUDI95: Cara membuat Semakan Kelayakan Subsidi Petrol RON95 RM1.99 Seliter

BUDI95: Cara membuat Semakan Kelayakan Subsidi Petrol RON95 RM1.99 Seliter

30
0

Program Budi Madani RON95 (BUDI95) akan bermula pada 30 September 2025 di seluruh negara dengan kumpulan polis dan tentera dapat menggunakan lebih awal pada 27 September, serta penerima bantuan STR pada 28 September ini.

Semakan kelayakan untuk menikmati petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter kini boleh dibuat secara online melalui laman web rasmi BUDI95 di budi95.gov.my. Tiada pendaftaran diperlukan dan anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad) untuk melihat kelayakan anda.

Setiap warganegara Malaysia akan diperuntukkan kuota bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter yang menurut Kementerian Kewangan mencukupi untuk 99% pemandu Malaysia. Bagi pengguna yang melebihi had kuota 300 liter pada bulan tertentu, anda boleh terus membeli RON95 pada harga tanpa subsidi.

Selain boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi, anda juga boleh membuat semakan kelayakan dan baki kuota melalui aplikasi Setel. Anda hanya perlu mengetik pada ikon BUDI95 di dalam aplikasi berkenaan untuk menyemak.

Siapa yang layak untuk BUDI95?

BUDI95 ditawarkan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan yang boleh diakses menggunakan MyKad dan lesen pemandu yang sah. Lesen-lesen memandu tersebut merangkumi:

  • Lesen Percubaan (CDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA); atau
  • Lesen Percubaan (PDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D danDA); atau
  • Lesen Belajar Memandu (LDL) (Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C);

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, terdapat 2.4 juta lesen yang telah tamat tempoh melebihi 3 tahun dan mereka ini tidak layak untuk subsidi BUDI95. Mengikut undang-undang, individu berkenaan perlu menduduki semula ujian memandu praktikal.

Hanya pemilik lesen aktif dan yang tamat dalam tempoh kurang dari 3 tahun layak untuk subsidi. Menteri berkenaan turut menyatakan terdapat sejumlah 925,421 lesen yang telah tamat dalam tempoh kurang dari 3 tahun.

Kenderaan asing juga tidak dibenarkan mengisi petrol RON95 sama ada bersubsidi atau tidak dan hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 sahaja. Bagaimanapun, untuk bukan warganegara yang memandu kenderaan berdaftar di Malaysia dibenarkan untuk membeli petrol RON95 pada harga tanpa subsidi.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi BUDI95.

Tinggalkan komentar