Biwin, syarikat pengeluar produk memori dan storan China pada April lalu telah mengumumkan SSD bersaiz kad SIM. Kini storan tersebut sedang diedarkan sampelnya ke beberapa syarikat untuk tujuan pengujian.

Walaupun pihak Biwin menamakan produk tersebut sebagai Mini SSD, sesetengah pengeluar menamakannya sebagai “1517”. Ini disebabkan oleh saiznya yang terlalu kecil, lebih kecil dari syiling 1 sen pada ukuran 15mm x 17mm x 1.4mm. Ia hanya besar sedikit berbanding kad mikroSD.
Kelajuannya pula menurut Biwin lebih kurang sama seperti PCIe 4.0 x2, iaitu 3,700MB/s untuk membaca dan 3,400MB/s untuk menulis. Kapasitinya pula terdiri daripada pilihan 512GB, 1TB, dan 2TB. Sebagai perbandingan, kad MicroSD Express yang boleh digunakan pada Nintendo Switch 2 berkelajuan kurang dari 1,000MB/s.
Pengeluar konsol boleh pegang GPD menerbitkan video klip pendek menunjukkan bagaimana Biwin Mini SSD dimasukkan ke dalam peranti. Video berkenaan juga menunjukkan Mini SSD tersebut boleh dimasukkan seperti memasukkan kad SIM pada telefon atau tablet. Memandangkan saiznya sedikit besar berbanding kad mikroSD yang biasa kita gunakan sekarang ini, mungkin slotnya pada peranti kelak perlu besar sedikit.
Setakat ini Biwin dilihat sedang bekerjasama dengan dua pengeluar konsol boleh pegang dari China untuk memanfaatkan teknologi Mini SSD baharunya ini. Salah satunya GPD seperti yang dinyatakan tadi menerusi Win 5 yang akan diumumkan pada Julai ini. Satu lagi adalah OneXPlayer Super X. Harga untuk storan berteknologi baharu ini juga masih lagi belum diketahui.