Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI atau SALAM dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Projek infrastruktur digital strategik ini akan dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ia bertujuan menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak melalui rangkaian kabel gentian optik sepanjang 3,190 kilometer. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kelajuan dan kestabilan sambungan internet di kawasan timur negara.
SALAM akan menghubungkan dari Sedili, Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak sebelum meneruskan sambungan ke lokasi utama di Sabah termasuk Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau. Rangkaian ini bertujuan mengurangkan jurang pembangunan digital antara kawasan barat dan timur negara yang masih ketara.
Kabel dasar laut menggunakan teknologi gentian optik berkebolehan menghantar data dalam jumlah besar secara pantas, menjadikannya tulang belakang utama sambungan internet antarabangsa. Hampir 99 peratus trafik internet global bergantung kepada infrastruktur kabel dasar laut yang lebih efisien berbanding teknologi satelit.
Malaysia melalui Telekom Malaysia (TM) sebelum ini telah terlibat dalam beberapa projek kabel dasar laut antarabangsa, termasuk sistem Malaysia-Cambodia-Thailand (MCT). Projek SALAM pula merupakan inisiatif pertama berskala besar yang memfokuskan kepada sambungan domestik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.













