Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof telah menyatakan pembayaran tol menerusi kad Touch ‘n Go akan tamat pada 2025. Ini kerana pengendali lebuhraya dikehendaki untuk melaksanakan sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada tahun berkenaan.
Sistem MLFF kelak tidak akan menggunakan palang penghadang seperti yang terdapat pada plaza tol sekarang ini. Ia juga akan digunakan bersama-sama sistem pengecaman automatik nombor pendaftaran kenderaan (ANPR). Pengguna lebuhraya kelak akan bebas memilih mana-mana kaedah pembayaran tol yang akan ditetapkan nanti.
Menteri berkenaan turut menyatakan antara pilihan pembayaran yang mungkin akan disediakan termasuklah TnG eWallet, kad debit/kredit atau mana-mana pilihan pembayaran digital yang disediakan oleh pengendali lebuhraya. Apa jua pilihan pengguna, pengguna hanya memerlukan tag RFID pada kenderaan masing-masing.
Dalam pada masa yang sama, laluan SmartTAG akan ditamatkan secara berperingkat. Namun, tiada tarikh tetap penamatan laluan tersebut dinyatakan di dalam wawancara beliau bersama Free Malaysia Today.
Kementerian Kerja Raya pada bulan lalu telah mengumumkan pelaksanaan pembayaran melalui RFID di plaza-plaza tol PLUS terpilih. Bagaimanapun, pengendali lebuhraya berkenaan telah memutuskan untuk membuka semula 43 lorong SmartTAG di 40 plaza tol bermula dari hari ini berikutan permintaan dari pengguna.













