Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa para pelanggan untuk memastikan pelayar web (web browsers) dan peranti mudah alih mereka menggunakan versi perisian terkini.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan industri perbankan untuk memperkukuh perlindungan pengguna terhadap ancaman siber dan penipuan dalam talian (scams) yang semakin berleluasa.

Menurut pihak persatuan, tindakan mengemaskini sistem operasi mudah alih dan pelayar web membolehkan pengguna menerima tampalan keselamatan (security patches) baharu yang dikeluarkan oleh pembangun perisian seperti Apple, Google, dan Mozilla.

Peranti lama lebih berisiko

Peranti yang masih menggunakan versi lama atau tidak lagi disokong berdepan risiko yang lebih tinggi kerana ketiadaan kemaskini keselamatan kritikal bagi menangkis ancaman siber yang sentiasa berevolusi.

Bagi mengurangkan risiko ini, pihak bank mungkin akan memperkenalkan langkah keselamatan tambahan terhadap pelanggan yang masih menggunakan perisian yang tidak disokong.

Antara langkah yang mungkin dilaksanakan termasuklah proses verifikasi tambahan, pengurangan had transaksi, atau sekatan lain. Malah, sesetengah bank mungkin bertindak menyekat transaksi yang dilakukan daripada pelayar atau sistem operasi yang telah usang bagi mengelakkan potensi kerugian.

Industri perbankan turut menyarankan agar pelanggan beralih daripada peranti lama kepada model yang lebih baharu bagi memastikan akses berterusan kepada kemaskini keselamatan dan keserasian dengan aplikasi perbankan.

ABM dan AIBIM memaklumkan bahawa terdapat bank yang sedang bekerjasama dengan rakan kongsi peranti terpilih untuk menawarkan harga diskaun atau pakej jualan bagi pelanggan yang layak untuk menaik taraf peranti mereka.

Selain itu, pelanggan dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi hanya daripada kedai aplikasi rasmi, memandangkan aplikasi yang dimuat turun secara tidak rasmi (sideloaded) mempunyai risiko perisian hasad (malware) yang lebih tinggi.

Berikut adalah senarai versi sistem operasi dan pelayar web yang diklasifikasikan sebagai selamat.

  • Sistem Operasi Mudah Alih:
    • Google Android: Versi 13 dan ke atas
    • Apple iOS: Versi 18 dan ke atas
  • Pelayar Web (Web Browsers):
    • Google Chrome: Versi 140 dan ke atas
    • Mozilla Firefox: Versi 141 dan ke atas
    • Safari: Versi 18.5 dan ke atas

Para pelanggan dinasihatkan untuk memeriksa tetapan peranti atau pelayar mereka secara berkala dan melakukan pemasangan kemaskini sebaik sahaja ia tersedia.

Bank-bank ahli di bawah kedua-dua persatuan ini termasuklah Maybank, CIMB, Hong Leong Bank, RHB, serta bank digital seperti Boost Bank, AEON Bank, dan Ryt Bank. Senarai penuh bank ahli boleh didapati di laman web rasmi ABM dan AIBIM.

Tinggalkan komentar