KUALA LUMPUR, 14 Februari 2023 – AVM Cloud (“AVM”), anak syarikat penyedia perkhidmatan Internet TIME dotCom Bhd (“Time”), hari ini memperkenalkan penyelesaian awan berdaulatnya yang dibina berasaskan kepada teknologi berbilang awan VMware, membolehkan perusahaan di Malaysia dan selainnya memenuhi keperluan residensi dan kedaulatan data sambil menikmati manfaat penuh berbilang awan untuk pertumbuhan.
Sebagai penyedia VMware Sovereign Cloud, AVM menerajui industri perkhidmatan awan dalam membentuk perbualan dan pertimbangan yang betul bukan sahaja untuk penggunaan awan, tetapi penyelesaian berasaskan infrastruktur berbilang awan yang selamat, boleh skala dan patuh yang memenuhi keperluan para pelanggan dan negara-negara.
Hadir pada majlis pelancaran Awan Berdaulat AVM “Into the Zone” ialah pakar-pakar dalam bidang rangkaian dan infrastruktur awan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AVM, David Chan; Pengurus Negara Malaysia VMware, Sarene Lee; dan Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Perusahaan TIME dotCom Bhd, Kit Au.
Ketua Pegawai Eksekutif AVM, David Chan dalam ucapan pembukaannya berkata, “Kebolehsuaian. Kawalan. Keyakinan. Tiga perkataan ini mewakili apa AVM tawarkan kepada perniagaan menerusi awan berdaulat kami yang boleh disesuaikan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan perniagaan anda. Kami meletakkan kawalan penuh data anda di tangan anda, sementara anda boleh meletakkan kepercayaan anda kepada kami untuk memastikan data anda selamat dan berada di bumi Malaysia. Sebagai penyedia VMware Sovereign Cloud, kami komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam keselamatan dan kedaulatan data.”
Pengurus Negara Malaysia VMware, Sarene Lee berkongsi, “Terdapat permintaan besar untuk penyelesaian awan berdaulat di Malaysia dan seluruh dunia, kerana organisasi hari ini menyimpan dan mengendalikan data daripada pengguna yang datang dari pelbagai pasaran bagi memacu inovasi dan pertumbuhan.
Rakan kongsi seperti AVM membantu memastikan semua data, beban kerja dan proses disimpan di dalam negara dan mematuhi sepenuhnya peraturan residensi dan kedaulatan data tempatan, yang kemudiannya memberi kuasa kepada perusahaan untuk menumpukan usaha dan sumber mereka terhadap hasil perniagaan dengan penuh yakin bahawa mereka beroperasi dalam infrastruktur awan yang selamat dan patuh.”
Pengarah Jualan Awan Asia Tenggara & Korea VMware, Ajay Turki menambah, “Dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks, penyedia VMware Sovereign Cloud kami sedia membantu perusahaan untuk terus meraih manfaat awan daripada ketersediaan hingga ketercapaian, dan keselamatan yang lebih baik hingga kebolehskalaan, tanpa menjejaskan kawalan untuk menempatkan beban kerja yang sensitif dan dikawal selia ke awan yang betul dan yakin bahawa integriti data kekal selamat dan berada di dalam sempadan Malaysia.”
“Peluang besar ekonomi data ketika ini menuntut kedaulatan ke atas data. Dengan meningkatnya kebimbangan mengenai perlindungan privasi, awan berdaulat yang diperakui AVM akan menjadi pengubah rentak permainan untuk kedua-dua sektor awam dan swasta dalam usaha mereka mengawal dan melindungi data yang sangat penting, di samping kekal patuh dengan peraturan tempatan di seluruh rantau dan pelbagai persekitaran awan,” ujar Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Perusahaan Time, Kit Au.
Dalam satu sesi perbincangan panel yang hangat di mana pakar-pakar daripada AVM, VMware, dan Time menyelami topik awan berdaulat dan manfaat infrastruktur awan yang selamat secara lebih mendalam, ahli-ahli panel itu membincangkan tentang bagaimana kebimbangan mengenai privasi dan keselamatan data, terutamanya data besar, mendorong permintaan untuk penyedia Awan Berdaulat seperti AVM.
Mereka turut berkongsi bagaimana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kedaulatan data dirangsang oleh pengembangan keperluan kawal selia dan ketidakstabilan geopolitik. Faktor-faktor ini bakal mengubah industri perkhidmatan awan dengan permintaan baharu dan belum dipenuhi sebagai langkah tambahan dalam usaha untuk menjadi kalis masa depan dan mengurangkan ancaman terhadap data, beban kerja dan infrastruktur IT. Ahli panel turut menekankan kenapa ianya sangat penting untuk bekerja dengan pakar yang boleh memberikan panduan teknikal, amalan terbaik, dan prinsip bagi mereka bentuk dan menempatkan penyelesaian awan yang memenuhi keperluan residensi dan kawalan bidang kuasa data yang terbaik dalam kelasnya.
AVM terus menjadi perintis dalam industri sebagai syarikat yang mengguna pakai teknologi baharu untuk sentiasa kekal di hadapan. Sebagai penyedia perkhidmatan awan terkemuka di Malaysia, AVM menjadi pilihan utama ratusan pelanggan korporat dan penyewa awan di seluruh negara.













