Akhirnya kini Asus telah membawakan telefon pintar yang paling dinanti-nantikan tahun ini, Asus ZenFone Zoom ke pasaran Malaysia hari ini. Dilengkapi dengan kamera berkuasa 3 kali ganda kuasa zoom pada bahagian belakangnya, peranti ini merupakan yang paling nipis dalam kategorinya dengan ketebalan hanya 5mm.
Peranti ini dikuasakan oleh pemprosesan empat teras Intel Atom Z3590 64 bit serta sokongan memori 4GB RAM dan 128 GB storan dalaman dengan ruang storan tambahan sehingga 64 GB melalui kad mikro SD. Amat memadai bagi para pengguna yang gemar mengambil foto berkualiti melalui telefon pintar.
Selain itu, tumpuan utama Asus ZenFone Zoom ini adalah terhadap kameranya yang merupakan kamera 13-megapiksel Panasonic dengan penderia SmartFSI berserta lensa 10-elemen f/2.7-4.8. Kamera peranti ni turut dilengkapi dengan penstabil imej optikal (optical image stabilisation, OIS), Pixel Master 2.0, fungsi auto fokus berlaser yang disokong oleh cahaya flash LED dwi-tona.
Jika anda merasakan 13 megapiksel ini tidak cukup cantik gambarnya, Asus menyediakan fungsi Super Resolution yang menggabungkan empat gambar yang ditangkap ke dalam satu imej yang resolusinya mampu mencapai sehingga 52 megapiksel pada satu-satu foto.
Asus ZenFone Zoom dikuasakan sistem operasinya oleh Android 5.0 Lollipop dengan antaramuka Asus ZenUI. Kapasiti baterinya bersesuaian dengan tahap kuasa perkakasannya pada 3,000 mAh dan dibantu dengan teknologi BoostMaster Asus untuk mempercepatkan pengecasan. Hadir dengan dua pilihan warna iaitu Ceramic White dan Pure Black, peranti ini dijangka boleh diperoleh pada penghujung Januari ini dengan harga jualan RM2,099.













