Asus secara rasminya mengumumkan kad grafiknya yang terbaru, dikenali sebagai Asus ROG Strix RX 480. Seperti mana kad grafik ROG Strix terkini yang lain, RX 480 akan hadir bersama-sama Aura RGB Lighting bagi memenuhi kepuasan penggunanya.
Menurut Asus, ROG Strix RX 480 menunjukkan prestasi 15 peratus lebih pantas melalui pengujian yang dijalankan pada 3DMark Fire Strike Extreme. Prestasi permainan seperti Hitman dan Doom juga didapati 19 peratus lebih baik dari Radeon RX 480.
Selain itu, Asus turut menyatakan bahawa model ini 30 peratus lebih sejuk berbanding RX 480 model rekaan rujukan (reference-design model). Hal ini adalah disebabkan oleh penggunaan teknologi penyejukan DirectCU III dan juga tiga buah kipas yang dipasang di atasnya.
Dari segi sambungan, kad grafik ini hadir dengan satu port DVI-D, dua port HDMI 2.0 dan dua port DisplayPort 1.4.
Seperkara yang menarik tentang kad grafik ini adalah ia dikuasakan secara terus melalui penyambung kuasa 8-pin. Justeru, membolehkannya mendapatkan bekalan kuasa secara terus tanpa perlu melalui slot PCIe pada motherboard. Korang nak overclock grafik guna kad grafik ni? Memang boleh sangat.
Harus diingat, kad grafik RX 480 dari Asus ini ada dua jenis; ROG Strix RX 480 8G Gaming (stock) dan ROG Strix RX 480 O8G Gaming (factory overclocked).
ROG Strix RX 480 O8G Gaming hadir dengan kelajuan klok yang dipertingkatkan kepada 1330 MHz apabila di dalam mod OC. Manakala bagi ROG Strix RX 480 8G Gaming pula, ketika di dalam mod OC, ia boleh dipertingkatkan sehingga 1286 MHz.
Sumber berita diperoleh dari Asus













