Astro telah memperkenalkan Ulti Box, kotak TV alternatif baharu kepada Ultra Box 4K UHD pada harga mampu milik. Anda boleh menyambungkannya ke rangkaian internet untuk menikmati kandungan hiburan dan menstrim lebih dari 60,000 video atas permintaan pada bila-bila masa.
Selain menyediakan paparan antaramuka baharu yang direka semula, Astro Ulti Box mampu menyediakan kandungan HD dengan sokongan sambungan Wi-Fi.
Menurut Astro, pelanggan sedia ada dengan dekoder lama boleh menaik taraf ke Ulti Box dengan bayaran pemasangan sekaligus RM49. Bagi pelanggan baharu pula, anda akan dikenakan bayaran RM99.
Sebagai perbandingan, Ultra Box 4K ditawarkan secara percuma bagi pelanggan yang mempunyai langganan melebihi RM100 ke atas.
Manakala pelanggan yang melanggan pakej berharga bawah RM100, bayaran RM199 akan dikenakan.
Kotak TV Ulti Box turut menampilkan UI baharu Astro dan membolehkan pengguna membuat carian kandungan berdasarkan tajuk, nama pelakon atau pengarah melalui alat kawalan jauh Astro.
Sama seperti Ultra Box, pelanggan boleh mengakses ke kandungan Video-on-Demand (VOD), rakaman awanan dan fungsi ‘Main dari Mula’. Untuk pengalaman dalam talian yang lebih seronok, Astro mencadangkan sambungan Wi-Fi sekurang-kurangnya 10Mbps. Menurut Astro, Ulti Box menguokong resolusi maksimum Full HD 1080p.
Pelanggan juga boleh menikmati tontonan pelbagai skrin melalui aplikasi Astro Go yang dipasangkan pada peranti mudah alih. Aplikasi tersebut juga membolehkan anda menyambung kembali tontonan yang anda tinggalkan sebelumnya.
Ulti Box menawarkan storan awanan sebanyak 200 jam dan boleh ditambah sebanyak 400 jam lagi dengan kadar RM12/bulan atau 1,500 jam untuk RM15/bulan.
Ciri-ciri yang ditawarkan oleh Astro Ulti Box
- Skrin utama baharu
- Temui video atas permintaan (Video on Demand, VOD) – Lebih dari 60,000 video boleh dinikmati secara penstriman bila-bila masa.
- Carian – Cari rancangan atau video kegemaran anda dengan pantas dan mudah
- Mainkan dari mula – Tidak faham hujung pangkal cerita? Mulakan semula sahaja ceritanya
- Henti sini, sambung di sana – Henti pada skrin TV dan sambungkannya pada mana-mana peranti lain
- Berbilang skrin – Strim dengan lebih lancar pada mana-mana peranti
- Rakaman awanan – Rakam program-program yang anda inginkan