Pentadbiran Amerika Syarikat (A.S.) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan eksport ke atas produk berkaitan perisian ke China. Langkah ini adalah sebagai tindak balas terhadap kawalan eksport mineral nadir bumi oleh Beijing dan ia berlaku menjelang rundingan perdagangan peringkat tinggi antara kedua-dua buah negara.
Kerajaan A.S. sedang menilai potensi sekatan ke atas eksport produk yang dibangunkan menggunakan perisian Amerika. Ia merangkumi barangan seperti komputer riba sehingga enjin jet.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk melaksanakan amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump pada 10 Oktober lalu. Beliau mengancam untuk mengenakan tarif tambahan 100% ke atas import dari China. Selain itu turut mencadangkan kawalan eksport ke atas “semua perisian kritikal” bermula November.
Cadangan sekatan itu akan mensasarkan penghantaran global produk yang sama ada mengandungi perisian A.S. atau dihasilkan menggunakan teknologi A.S. Pendekatan yang sama juga dikenakan ke atas Rusia sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Perbendaharaan A.S., Scott Bessent, mengesahkan bahawa pelbagai pilihan sedang dipertimbangkan. “Everything is on the table”, kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa sebarang sekatan eksport, sama ada melibatkan perisian, enjin, atau barangan lain, kemungkinan besar akan diselaraskan bersama sekutu G-7.
Perkembangan ini berlaku sejurus sebelum rundingan perdagangan penting antara Bessent dan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, yang dijadualkan berlangsung di Malaysia. Pertemuan ini dijangka menjadi landasan bagi kemungkinan pertemuan antara Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jinping, pada akhir bulan ini di Korea Selatan.
Walaupun langkah sekatan ini masih di peringkat pertimbangan dan mungkin tidak akan dilaksanakan, ia menandakan potensi peningkatan ketegangan dalam konflik perdagangan antara A.S. dan China. Penganalisis memberi amaran bahawa jika dilaksanakan sepenuhnya, kawalan tersebut boleh mengganggu perdagangan global dengan China dan membawa kos ekonomi kepada A.S.













