Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat telah mengumumkan penambahan syarikat pembuat dron terkemuka, DJI, ke dalam “Senarai Liputan” (Covered List) mereka.

Tindakan ini secara efektif melarang pengimportan semua model dron baharu keluaran syarikat China tersebut ke pasaran Amerika Syarikat atas alasan risiko keselamatan negara yang dianggap tidak boleh diterima.

Langkah penguatkuasaan baharu ini bukan sahaja melibatkan DJI, malah turut menyenaraikan Autel serta pelbagai komponen dan dron buatan asing lain.

Walau bagaimanapun, sekatan ini tidak bersifat retrospektif. Ia bermaksud larangan tersebut tidak menghalang pengimportan, penjualan, atau penggunaan model peranti sedia ada yang telah mendapat kebenaran daripada pengawal selia telekomunikasi sebelum keputusan ini dibuat.

Menurut maklum balas pihak DJI, syarikat tersebut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan FCC. DJI menegaskan bahawa walaupun mereka tidak disasarkan secara spesifik, pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak memberikan alasan yang jelas terhadap tindakan tersebut.

Buat masa ini pengguna di Amerika Syarikat masih dibenarkan terus menggunakan dron yang telah dibeli secara sah sebelum sekatan ini berkuat kuasa.

Dalam pada masa yang, Beijing menuduh Amerika Syarikat menggunakan tafsiran konsep keselamatan negara yang “terlalu meluas” dan mewujudkan senarai yang bersifat diskriminasi.

Ini bukan kali pertama DJI dikenakan tindakan. Pada tahun 2021, Jabatan Perbendaharaan AS menyenarai hitam jenama tersebut atas dakwaan penglibatan dalam penindasan di wilayah Xinjiang. Rentetan dari itu, pada tahun 2024, DJI menyaman Jabatan Pertahanan (DOD) AS kerana melabelnya sebagai “Syarikat Tentera China”.

Keputusan FCC ini menambah tekanan kepada operasi DJI di pasaran antarabangsa. Ini berikutan siri tindakan undang-undang dan sekatan perdagangan yang telah dihadapi syarikat itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia mencerminkan ketegangan teknologi yang berterusan di antara Amerika Syarikat dan China.

Tinggalkan komentar