Apple sedang membangunkan aplikasi ujian dalaman yang menyerupai ChatGPT untuk menguji versi baharu Siri yang diperkasa teknologi model bahasa besar (LLM), menurut laporan Bloomberg Khamis lalu.

Aplikasi ujian ini direka khas untuk membantu jurutera Apple menilai kebolehan Siri yang sedang dirombak sepenuhnya dengan teknologi kecerdasan buatan terkini.

Apple menegaskan aplikasi tersebut adalah untuk kegunaan dalaman semata-mata dan tidak akan dikeluarkan kepada pengguna awam. Ia berfungsi seperti aplikasi chatbot biasa dengan pelbagai perbualan mengikut topik berbeza. Turut dilaporkan, ia mampu mengingati sesi perbualan terdahulu dan menyokong perbualan berterusan.

Usaha mempertingkat Siri telah dimulakan sejak pelancaran iOS 18. Namun terpaksa ditangguhkan ke 2026 kerana tidak memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.

Apple kini memilih untuk membina semula Siri menggunakan seni bina generasi kedua yang mempercepatkan peralihan kepada model bahasa besar. Siri versi terbaru dijangka menggunakan teknologi serupa ChatGPT, Claude dan Gemini. Ia bertujuan dapat menghasilkan respons berterusan yang lebih natural dan menyelesaikan tugasan kompleks.

Apple mensasarkan untuk melancarkan Siri berasaskan LLM pada awal 2026 melalui kemas kini iOS 26.4 yang dijangka tiba pada Mac tahun hadapan. Ini bermakna pelancaran akan berlaku setahun selepas tempoh sasaran asal syarikat itu.

Pada penghujung tahun hadapan, Apple merancang untuk memperkenalkan reka bentuk baharu Siri yang lebih menyerupai manusia. Kemungkina ia seperti logo Finder pada Mac.

Apple dilaporkan sedang berunding dengan syarikat seperti Anthropic, OpenAI dan Google untuk kemungkingan menggunakan teknologi AI pihak ketiga bagi memperkasakan Siri generasi baharu, selain bergantung pada model AI dalaman.

Tinggalkan komentar