Apple sejak sekian lama menawarkan produk percumanya kepada para pelajar sebagai sebahagian dari promosi Kembali ke Sekolah. Sebelum ini, promosi tersebut hanya terhad di pasaran beberapa buah negara dan kini telah diperluaskan ke Malaysia.

Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima AirPods Generasi Kedua secara percuma apabila membuat pembelian peranti berikut di laman Apple Malaysia:

  • iMac
  • Mac mini
  • Mac Pro
  • MacBook Pro
  • MacBook Air
  • iPad Pro
  • iPad Air

Dalam pada masa yang sama, pelajar-pelajar berkenaan juga boleh mendapatkan AirPods Generasi Ketiga melalui promosi ini. Namun, perlu menambah sebanyak RM240 ketika transaksi pembayaran dilakukan.

Selain itu, Apple Higher Education Offer 2022 turut menawarkan diskaun 20% bagi AppleCare Protection Plan khusus untuk peranti-peranti berkenaan. Tidak ketinggalan, pelajar-pelajar juga akan menerima diskaun khusus untuk pendidikan sebanyak 10% dari harga biasa bagi pembelian produk-produk Apple.

Untuk mendapatkan penawaran ini, pelajar-pelajar boleh melakukan pengesahan maklumat pelajar menerusi platform UNiDAYS. Ibu bapa yang membuat pembelian bagi pihak anak, serta kakitangan dan tenaga pengajar institusi pendidikan juga boleh memanfaatkan penawaran ini.

Maklumat lanjut tawaran ini boleh didapati di laman Apple Malaysia. Tawaran ini dibuka sehingga 7 Mac 2022.

Tinggalkan komentar