Apple dilaporkan akan memperkenalkan Siri yang dipertingkat dengan integrasi teknologi Google Gemini Februari ini. Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, Apple merancang untuk membuat pengumuman mengenai Siri baharu ini pada penghujung Februari.
Syarikat teknologi tersebut dijangka menggunakan peluang ini untuk mendemonstrasikan ciri-ciri baharu yang dikuasakan oleh Gemini.
Siri versi ini dilaporkan akan dilancarkan bersama kemas kini sistem operasi iOS 26.4. Fasa beta dijangka bermula pada bulan Februari. Manakala pelepasan umum kepada pengguna dijadualkan sekitar bulan Mac atau awal April.
Dari segi keupayaan teknikal, Siri yang dikemas kini ini akan menggunakan data pengguna dan kandungan pada skrin. Ia bagi mengendalikan tugasan yang bersifat kontekstual serta berbilang langkah.
Walau bagaimanapun, ciri perbualan yang lebih maju seakan-akan ‘chatbot’ (mirip ChatGPT) tidak akan disertakan dalam kemas kini awal ini.
Apple dilaporkan merancang untuk melancarkan versi perbualan yang lebih canggih tersebut dalam iOS 27. Ia dijangka akan didedahkan semasa persidangan pembangun tahunan syarikat itu pada awal Jun.
Ciri-ciri Apple Intelligence yang dikuasakan Gemini ini dijangka akan diperluas ke iOS 27, iPadOS 27, dan macOS 27 dengan keluaran beta sekitar pertengahan tahun ini.
Selain pembaharuan terhadap Siri, laporan tersebut turut menyentuh potensi pengembangan ciri AI pada pelayar Safari dan alat carian. Namun, perincian khusus mengenai ciri tambahan ini masih belum didedahkan sepenuhnya.













