Apple dilaporkan akan menggunakan model kecerdasan buatan (AI) Google Gemini untuk sebahagian besar pengalaman Siri yang dikemas kini. Ia dijangka akan dilancarkan seawal musim bunga tahun hadapan melalui iOS 26.4.

Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan Siri dalam menjawab pertanyaan pengguna dengan lebih cekap. Dalam pada masa yang sama dapat mengekalkan privasi data pengguna melalui infrastruktur pelayan peribadi Apple.​

Strategi baharu Apple untuk Siri akan menggabungkan tiga komponen utama: perancang pertanyaan (query planner), sistem carian pengetahuan (knowledge search), dan perumus (summarizer). Model Google Gemini akan digunakan untuk keupayaan perancang dan perumus, yang akan beroperasi pada pelayan Private Cloud Compute milik Apple. Pendekatan ini membolehkan Siri memproses permintaan kompleks seperti mencari cadangan buku daripada mesej seorang ibu dengan menganalisis data pada peranti dan memberikan respons yang relevan.​

Model Gemini dalam Infrastruktur Apple

Untuk menjaga privasi, model Gemini akan dijalankan sepenuhnya pada infrastruktur pelayan Apple tanpa perkongsian data luaran. Data peribadi pada peranti pengguna pula akan diproses menggunakan Model Asas (Foundation Models) yang dibangunkan oleh Apple sendiri.​

Selain itu, komponen carian pengetahuan baharu yang membolehkan Siri memahami topik dunia dan trivia juga mungkin dikuasakan oleh model Gemini. Ini akan membolehkan Siri menjawab soalan pengetahuan am dengan lebih baik, tanpa bergantung pada integrasi pihak ketiga seperti ChatGPT atau sekadar memaparkan hasil carian web.​

Walaupun penggunaan model Gemini adalah meluas di sebalik tabir, Apple dijangka tidak akan mempromosikan kerjasama ini secara terbuka. Semua ciri baharu Siri akan dipasarkan sebagai teknologi proprietari Apple menerusi pelayan dan antaramukanya. Kerjasama ini dilihat sebagai langkah praktikal bagi Apple untuk mengisi jurang teknologi  sistem model bahasa besarnya (LLM).

Langkah ini membolehkan Apple akhirnya melancarkan ciri-ciri AI untuk Siri yang telah dijanjikan sejak setahun lalu. Pelanggan dijangka tidak akan mengambil peduli mengenai butiran pelaksanaan, asalkan iPhone mereka mempunyai fungsi yang diharapkan. Pengumuman rasmi mengenai Siri baharu ini dijangka akan dibuat pada musim bunga, sekitar bulan Mac atau April, serentak dengan pelancaran iOS 26.4. Apple juga dilaporkan sedang menyediakan peranti paparan pintar untuk kediaman yang akan memanfaatkan keupayaan pembantu AI baharu ini.

Tinggalkan komentar