Semakin banyak syarikat yang menghulurkan bantuan di saat dunia menghadapi ancaman wabak pandemik COVID-19. Apple turut serta dengan pernah mengumumkan sumbangan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan.

Kali ini, Apple telah menerbitkan rekaan dan panduan pengeluaran pelindung muka yang dihasilkannya untuk digunakan oleh mana-mana syarikat yang mahu menghasilkannya sendiri.

Apple melalui kenyataan di dalam panduan tersebut telah mengingatkan projek pembuatan pelindung muka ini perlu dilakukan oleh kumpulan profesional di dalam persekitaran kilang. Menariknya, Apple turut menawarkan sokongan bagi mana-mana pihak yang ingin mendapatkan bantuan berkaitan fabrikasi pelindung muka tersebut.

Turut dimuatkan di dalam panduan tersebut adalah butiran bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat pelindung muka, serta bahan alternatif yang boleh digunakan. Juga turut disertakan rekaan pelindung muka dan juga panduan pemasangan sebaik sahaja ia disiapkan.

Berdasarkan kenyataan dari Apple menerusi set panduan berkenaan, pastinya ianya bukanlah projek yang boleh dilakukan secara sembarangan. Bagi mana-mana pihak yang mampu membantu, ini mungkin salah satu cara menyumbang dengan memastikan sokongan bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) terjamin.

Tinggalkan komentar