Seluruh dunia kini sedang berdepan dengan inflasi disebabkan oleh pelbagai faktor yang mengakibatkan harga barangan meningkat disamping turut menyebabkan beberapa mata wang mengalami penurunan. Atas sebab itu, Apple turut mengumumkan pihaknya akan menaikkan harga di dalam App Store.

Menerusi kenyataan kepada para pembangun, perubahan harga ini akan berkuatkuasa pada bulan hadapan melibatkan pembelian aplikasi dan juga dalam gedung. Kenyataan tersebut juga menyebut kenaikan harga akan bermula seawal 5 Oktober ini dengan beberapa rantau mungkin akan mula mengalami kenaikan harga selepas dari tarikh tersebut.

Antara negara-negara yang terkesan dengan kenaikan harga tersebut termasuklah Malaysia, Chile, Mesir, Jepun, Pakistan, Poland, Korea Selatan, Sweden, Vietnam, dan negara-negara yang menggunakan matawang Euro.

Apa yang lebih menghairankan, Apple tidak menyatakan dengan lebih lanjut tentang sebab mengapa kenaikan harga tersebut dibuat. Cuma untuk di Vietnam, perubahan harga ini adalah disebabkan oleh undang-undang percukaian baharu yang menambah cukai VAT dan korporat 5%.

Menurut Apple, kenaikan harga ini tidak akan memberikan kesan terhadap pengguna yang mempunyai langganan dengan pembaharuan secara automatik. Para pembangun juga boleh memilih sama ada untuk mengekalkan harga semasa aplikasi untuk pelanggan sedia ada.

Maklumat lanjut mengenai perubahan harga di dalam Apple App Store ini boleh dibuat menerusi senarai ini.

Perubahan harga ini tidak mengejutkan jika kita melihatkan penurunan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) pada tahun ini. Inflasi ini juga memperlihatkan harga iPhone 14 dan iPhone 14 Pro pada tahun ini lebih tinggi berbanding siri iPhone keluaran tahun lepas.

Tinggalkan komentar