Apple sedang mempersiapkan untuk menukarkan port Lightning pada iPhone keluaran tahun hadapan dengan USB-C, menurut pakar analisis Encik Ming-Chi Kuo.

Menurut untaian beliau di Twitter, Apple dijangka akan membuat perubahan tersebut pada tahun 2023 berdasarkan satu tinjauan yang pernah dijalankan.

Tambah beliau lagi, penggunaan USB-C mampu meningkatkan kelajuan pemindahan data dan pengecasan dari segi perkakasannya. Namun, ia masih lagi bergantung sejauh mana sokongan yang ditawarkan pada perisiannya.

Desas-desus mengenai penggunaan USB-C pada iPhone telah timbul sudah agak lama. Kebanyakan pengeluar telefon pintar sudah lama menggunakan port tersebut, cuma Apple sahaja yang baru mula melaksanakannya pada peranti-peranti keluarannya. Apple telah menyediakan USB-C pada iPad keluaran terbarunya dan memperkenalkan port Thunderbolt menyokong USB-C pada Mac.

Selain itu, Apple juga sedang berdepan dengan tekanan dari pentadbiran Kesatuan Eropah yang mewajibkan penggunaan port USB-C pada telefon pintar dan peranti-peranti elektronik lain. Pelaksanaan undang-undang tersebut bertujuan mengurangkan sisa elektronik dan memelihara alam sekitar.

Apple bagaimanapun sebelum ini dilihat menentang peraturan tersebut. Malah terdapat laporan yang mengatakan Apple lebih sanggup menjadikan iPhone hadir tanpa sebarang port (portless) dari menggunakan USB-C pada iPhone.

Tinggalkan komentar