Apple telah memperkenalkan MacBook Pro 14 inci baharu, yang kini dikuasakan oleh pemproses terkini Apple M5. Pelancaran ini menandakan kemas kini strategik dengan memperkenalkan cip baharu ini melalui model asas Pro terlebih dahulu. Varian lebih tinggi seperti M5 Pro atau M5 Max yang dilaporkan masih memerlukan beberapa bulan lagi sebelum dilancarkan.
Cip M5 baharu ini dibina berasaskan proses 3-nanometer yang sama seperti generasi sebelumnya, M4. Ia dilengkapi dengan CPU 10-teras, GPU 10-teras, dan Enjin Neural 16-teras. Apple mendakwa cip ini memiliki teras CPU terpantas di dunia, menawarkan prestasi multithreaded sehingga 20% lebih laju dan prestasi grafik sehingga 1.6x lebih pantas dalam aplikasi profesional berbanding M4.
Selain itu, prestasi kecerdasan buatan (AI) turut dipertingkatkan sehingga 3.5x ganda, termasuk keupayaan suntingan video AI yang 1.8x lebih pantas menggunakan Topaz Video dan proses rendering 3D 1.7x lebih laju dalam Blender. Prestasi SSD juga dikatakan dua kali lebih pantas. Dengan cip baharu ini, Apple menjanjikan kecekapan tenaga yang lebih baik, membolehkan MacBook Pro ini beroperasi sehingga 24 jam dengan sekali cas.
Dari segi fizikal, MacBook Pro dengan cip M5 ini tidak berubah berbanding model M4. Ia mengekalkan casis yang sama, Papan Kekunci Ajaib (Magic Keyboard) dengan Touch ID, dan sistem enam pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos serta Audio Spasial (Spatial Audio). Pilihan warna yang ditawarkan ialah Space Black dan Silver.
Laptop ini terus menggunakan paparan Liquid Retina XDR berukuran 14.2 inci dengan resolusi 3,024 × 1,964 piksel. Paparan ini menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz dan mampu mencapai tahap kecerahan puncak sehingga 1,600 nit untuk kandungan HDR.
Ciri-ciri Utama MacBook Pro 14″ (M5) dan Harga

- Pemproses: Cip Apple M5 (CPU 10-teras, GPU 10-teras, Enjin Neural 16-teras)
- Paparan: Liquid Retina XDR 14.2 inci (3024×1964), ProMotion 120Hz, 1600 nit
- Hayat Bateri: Sehingga 24 jam
- Memori (RAM): 16GB atau 32GB
- Storan (SSD): 512GB hingga 4TB
- Port: Pengecasan MagSafe 3, 3x Thunderbolt 4 (USB-C), HDMI, pembaca kad SDXC, bicu audio 3.5mm
- Kamera: 12MP Center Stage
- Sistem Operasi: macOS Tahoe
- Sambungan: Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3
- Warna: Space Black, Silver
Di Malaysia, MacBook Pro 14 inci dengan cip M5 disenaraikan pada harga bermula RM6,999 untuk varian dengan 16GB RAM dan 512GB SSD. Konfigurasi tertinggi dengan 32GB RAM dan storan 4TB pula dijual pada harga RM13,799. Walau bagaimanapun, Apple masih belum mengesahkan tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran tempatan.

















