Apple merancang untuk melaburkan lebih dari $250 juta (~RM1,185 juta) bagi memperluaskan kampus serantau atau pengoperasiannya di Ang Mo Kio, Singapura, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak syarikat bertarikh 17 April.
Dua buah bangunan telah diperolehi pada 2022 yang lokasinya berhampiran dengan pejabat Apple sedia ada akan menjalani naik taraf besar-besaran.
“Singapura merupakan lokasi yang unik, dan kami berbesar hati dengan hubungan baik yang dibina dengan komuniti dinamik yang terdiri daripada pencipta, pencari ilmu dan para pemimpi,” ujar Ketua Pengarah Eksekutif Apple Tim Cook.
Apple membuka fasiliti pertamanya di Singapura pada 1981 dengan 72 tenaga kerja yang memfokuskan pada komputer peribadi awalnya, Apple II. Ia seterusnya berkembang kepada 3,600 orang tenaga kerja untuk menjadi pusat operasi serantau Apple.
Tim Cook kemudiannya dijadualkan mengadakan pertemuan dengan bakal Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sebagai salah satu rangka lawatan kerja di Asia Tenggara, menurut laporan Bloomberg News.













