Apple dilaporkan sedang membuat persiapan menggantikan cipset 5G Qualcomm dengan modem buatannya sendiri untuk dua model iPhone baharunya yang akan dilancarkan pada 2025. Ia dijangka akan digunakan pada iPhone SE4 dan iPhone 17 versi nipis.
Jika benar, langkah ini akan mengurangkan kebergantungan Apple dengan pembekal-pembekal lain dan meningkatkan lagi kawalan terhadap komponen teknologi yang kritikal.
Menurut penganalisis Ming-Chi Kuo, pembangunan cip 5G proprietari Apple merupakan objektif jangka panjang dan ia akan diintegrasikan ke peranti-peranti yang akan datang.
Tindakan ini dibuat sungguhpun Apple telah pun melanjutkan kontraknya dengan Qualcomm untuk menggunakan cipset 5G sedia ada sehingga Mac 2027. Sementara itu, Apple merancang untuk menggantikan cip-cip berkenaan secara berperingkat sambil meneroka kaedah lain.
Pelaksanaan ini selaras dengan cara Apple melakukan integrasi bagi meningkatkan prestasi produknya dan membezakannya dengan model-model perniagaan usahasama terdahulu. Buat masa ini Apple berusaha memindahkan kepada teknologi buatan sendiri secara beransur-ansur tanpa mengganggu bekalan produk sedia ada.
Hanya iPhone SE4 dan iPhone 17 versi nipis sahaja yang dikatakan akan menampilkan cip 5G Apple pada 2025. Lain-lain model seperti iPhone 16 dan iPhone 17 model yang lebih tinggi mungkin akan kekal dengan cip 5G Qualcomm. Apple pada ketika ini masih menguji teknologi modemnya di dalam persekitaran terkawal sebelum memperluaskannya ke lebih banyak peranti di masa hadapan.













