Masih terlalu awal lagi untuk memperkatakan tentang iPhone 15, kerana Apple baharu sahaja memperkenalkan siri iPhone 14 dan iPhone 14 Pro pada bulan lepas. Namun, ini tidak menghalang desas-desus mengenainya disebarkan oleh seluruh warga internet.

Baru-baru ini telah tersebar dakwaan dari penganalisis Ming-Chi Kuo yang mengatakan Apple tidak akan menyediakan butang fizikal pada siri telefon pintar berkenaan.

Menurut beliau, butang fizikal berkenaan akan digantikan dengan input yang hadir dalam keadaan pepejal tanpa sebarang komponen yang bergerak secara mekanikal. Ia lebih mirip kepada permukaan peka sentuhan seperti teknologi haptik seperti yang pernah terdapat pada butang ‘home’ iPhone 7 dan 8.

Antara kelebihan penggunaan teknologi ini, ia dikatakan mampu mencegah masalah komponen menjadi haus apabila digunakan dalam satu tempoh yang lama. Teknologi mirip haptik ini juga dijangka dapat membolehkan Apple memperkenalkan kaedah kawalan gestur baharu.

Tinggalkan komentar