Apple akan mula memaparkan iklan tambahan dalam hasil carian App Store bermula pada 3 Mac ini. Inisiatif ini akan diperkenalkan terlebih dahulu di pasaran United Kingdom dan Jepun. Ia diperluaskan ke pasaran lain termasuk Malaysia menjelang akhir bulan Mac.

Langkah ini merupakan rentetan daripada pengumuman Apple pada bulan lepas untuk menambah bilangan slot iklan dalam hasil carian App Store.

Sebelum ini, pembangun aplikasi hanya boleh membayar untuk meletakkan aplikasi mereka di satu slot tunggal pada bahagian paling atas hasil carian. Kini slot berbilang akan tersedia di bahagian bawah senarai carian.

Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Apple di laman web mereka, “Carian adalah cara kebanyakan orang menemui dan memuat turun aplikasi di App Store, dengan hampir 65 peratus muat turun berlaku secara langsung selepas carian.”

“Untuk membantu memberi pengiklan lebih banyak peluang memacu muat turun daripada hasil carian, Apple Ads akan memperkenalkan iklan tambahan merentasi pertanyaan carian,” tambah kenyataan itu lagi.

Untuk pembangun aplikasi, Apple menjelaskan tiada perubahan perlu dibuat pada kempen sedia ada untuk layak bagi posisi baharu ini.

Iklan akan berjalan secara automatik sama ada di posisi sedia ada (atas hasil carian) atau di bahagian bawah. Pembangun tidak boleh memilih atau membida untuk slot tertentu secara khusus.

Slot iklan tambahan ini akan dapat dilihat pada peranti iPhone dan iPad yang menjalankan sistem operasi iOS 26.2 atau iPadOS 26.2 dan versi yang lebih terkini.

Setiap aplikasi dengan penempatan berbayar akan terus ditandakan dengan label “Ad” untuk membezakannya daripada hasil carian organik.

Perkembangan ini hadir selepas Apple menjenamakan semula perniagaan “Search Ads” mereka kepada “Apple Ads” pada tahun lepas. Ia seiring dengan laporan mengenai kesediaan untuk memaparkan iklan di lebih banyak lokasi dalam ekosistem Apple.

Tinggalkan komentar