Android Marshmallow telah dibincangkan secara terperinci di kalangan peserta sepanjang berlangsungnya acara Google hari ini. Melalui pengenalan fungsi-fungsi baru seperti teknologi pengimbas cap jari dan sokongan storan luaran, ‘manisan’ sistem operasi dari Google ini kian berkembang.

Privasi memainkan peranan yang besar bagi Android Marshmallow. Keizinan untuk aplikasi pula menjadi fokus utama perbincangan dan para pembangun yang merekabentuk Android Marshmallow menawarkan lebih kawalan untuk pengguna berkenaan apa jenis maklumat yang pengguna inginkan kongsikan atau rahsiakan.

Teknologi imbasan cap jari yang diadun bersama Marshmallow telah meningkatkan tahap privasi dan personalisasi bagi pengguna. Tidak lama lagi, akan muncul peranti-peranti Android yang hadir bersama fungsi keselamatan ini.

Penggunaan kawalan suara dari pengguna juga merupakan antara ciri-ciri menarik yang diperkenalkan oleh Marshmallow bagi membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti melalui arahan suara. Pengguna boleh menggunakan arahan seperti “Okay Google, play Ahmad Jais in Play Music” dan peranti berkenaan akan terus memainkan lagu dendangan seperti Budi Setahun Segunung Intan dari Ahmad Jais.

Fungsi kawalan melalui suara pengguna ini juga boleh dibuat ketika skrin peranti dikunci.Marshmallow

Bahagian senarai aplikasi-aplikasi juga menjadi lebih kontekstual dengan kemampuan menyenaraikan aplikasi-aplikasi yang paling kerap digunakan oleh pengguna pada tempat yang paling hadapan.

Melalui sokongan storan luaran ia membolehkan data-data seperti aplikasi ditambat (tethered) ke peranti anda secara enkripsi. Ia dinamakan sebagai Flex Storage oleh Google dan ini menunjukkan bahawa Android kini bukan sekadar sistem operasi untuk telefon pintar semata-mata.

Android Marshmallow akan dilancarkan pada minggu hadapan untuk peranti-peranti Nexus (5, 6, 7, 9 dan Player).

-Sumber info dan info diperoleh dari Tech Crunch

Tinggalkan komentar