Aplikasi mudah alih yang dipenuhi dengan malware bukanlah sesuatu yang luar biasa berlaku pada peranti Android mahupun iOS. Kali ini sebuah aplikasi Android yang dikenali sebagai Camscanner didapati dipenuhi dengan malware merbahaya. Aplikasi ini juga didapati telah pun dimuat turun sebanyak lebih dari 100 juta kali di Google Play Store.
Berdasarkan keterangan rasmi aplikasi ini, Camscanner mendakwa aplikasinya mengimbas dokumen menggunakan teknologi pengecaman aksara optikal (optical character recognition, OCR) sebelum menukarkannya ke fail-fail PDF. Aplikasi berkenaan secara luarannya kelihatan tidak meragukan dan hanya bergantung dengan pengiklanan dan langganan sebagai sumber pendapatannya. Namun, semakan terperinci mendapati salah satu pustaka pengiklanannya mengandungi modul hasad.
Para penyelidik di Kaspersky menamakan malware berkenaan sebagai “Trojan-Dropper.AndroidOS.Necro.n,” atau nama pendeknya, Trojan-Dropper. Menurut kumpulan penyelidik ini, malware trojan ini dinyah-mampat dan menjalankan modul hasad pada latar sistem operasi peranti. Memburukkan keadaan, pembuat malware ini boleh menyalahgunakannya untuk apa jua tujuan menjana pendapatannya.
Kaspersky turut menambah modul-modul sebegini seringkali terdapat pada sesetengah aplikasi pra-pasang pada telefon pintar keluaran syarikat-syarikat China. Modul ini boleh diaktifkan untuk memaparkan iklan-iklan mengganggu dan juga mendaftar untuk sesuatu langganan tanpa disedari pengguna.
Penemuan oleh Kaspersky ini telah pun dipanjangkan ke pengetahuan pihak Google. Pada masa ini aplikasi Camscanner telah pun ditarik keluar dari gedung Play Store. Hanya versi berbayar dan HD sahaja yang masih lagi kekal di dalam gedung berkenaan.
Kebiasaannya, Google Play Store merupakan tempat yang selamat untuk pengguna memuat turun apa jua aplikasi. Namun, ada kalanya segelintir aplikasi terlepas dari pemantauan apabila pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan sesuatu kemudahan dari masa ke semasa.
Sumber berita diperoleh dari Arstechnica












