Menjelang acara Google I/O yang bakal berlangsung Selasa ini, terdapat maklumat baharu yang tertiris mengenai Android 12.
Video baharu yang dikongsikan oleh Jon Prosser dari Front Page Tech, telah menunjukkan slaid-slaid untuk pembentangan Android 12 kelak.
Antara yang dikongsikan menerusi slaid tersebut adalah antaramuka baharu Android 12 nanti. Ianya termasuklah widget media baharu, togol kecerahan, cuaca, jam analog, butang snooze, dab notifikasi bertindih.
Maklumat tertiris sebelum ini menunjukkan Android 12 akan mempunyai widget bertindan, hampir sama konsepnya seperti Smart Stack pada iOS 14.
Versi pratonton Android 12 telah menyertakan sejumlah perubahan-perubahan kecil bersama-sama ciri-ciri khusus untuk pembangun.
Jika maklumat tertiris baharu ini tepat, Android 12 akan memberikan perubahan antaramuka terbesar yang pernah dilakukan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.













