Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah melancarkan serangan ketenteraan bersama ke atas Iran pada 28 Februari 2026. Serangan mengakibatkan beberapa siri letupan kuat dan kepulan asap di sekitar ibu negara Tehran serta wilayah lain.
Operasi besar-besaran melalui udara dan laut ini bertujuan memberi tekanan terhadap Iran berhubung program nuklearnya.
Serangan bersepadu ini mensasarkan pelbagai lokasi utama di seluruh negara, termasuk wilayah barat Ilam. Agensi berita Fars melaporkan bahawa beberapa peluru berpandu telah membedil kawasan Jalan Universiti dan daerah Jomhouri di Tehran. Letupan-letupan lain turut dilaporkan di wilayah Seyyed Khandan.
Selain itu, komunikasi mudah alih terjejas teruk dengan wartawan di lokasi mengesahkanperkhidmatan panggilan telefon di Tehran terputus sepenuhnya.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa serangan peluru berpandu ini dilancarkan untuk meneutralkan ancaman terhadap Negara Israel.
Dalam pada masa yang sama, pegawai pertahanan Israel mendedahkan bahawa perancangan serangan ini telah dilakukan selama berbulan-bulan. Tarikh pelaksanaannya juga telah ditetapkan sejak beberapa minggu lalu.
Walaupun rundingan antara AS dan Iran sedang berlangsung, penganalisis melihat tindakan ketenteraan ini sebagai satu halangan besar terhadap proses diplomasi tersebut. Mehran Kamrava, pensyarah dari Universiti Georgetown di Qatar, menyatakan serangan ini berkemungkinan besar adalah percubaan Israel untuk menggagalkan sebarang usaha rundingan damai.













