Amazfit telah melancarkan jam tangan pintar lasak terbarunya ke pasaran tempatan, T-Rex 2. Menurut Amazfit, jam tangan pintar generasi kedua baharu ini telah melepasi 15 ujian bertaraf ketenteraan, membuktikan jam tangan ini mampu digunakan di dalam persekitaran serba lasak seperti di dalam hutan belantara, gunung-ganang, kawasan beriklim lampau sejuk, mahupun ke angkasa lepas.

Amazfit T-Rex 2 menampilkan paparan AMOLED 1.39-inci dengan ciri skrin-sentiasa-terpasang (always-on) dengan kecerahan kemuncak 1,000 nit. Paparan ini dikelilingi oleh bingkai tebal bersalut logam dan mempunyai dua butang fizikal bertekstur pada sebelah sisi kiri dan kanannya.

Ia hadir dengan empat pilihan warna dan aplikasi pendampingnya Zepp membolehkan anda memilih dari sejumlah muka jam bersama-sama pilihan memuatnaik foto pilihan sendiri.

Kelasakan jam tangan pintar ini dikatakan mampu bertahan di dalam keadaan suhu di antara 70°C hingga -40°C. Ia juga mempunyai kerintangan kelembapan selama 240 jam, kerintangan semburan air bergaram untuk 96 jam, kerintangan air hujan dingin dan ais, serta tahan hentakan. Jam tangan pintar dari Amazfit ini juga diberikan penarafan 10 ATM bagi kerintangan air, justeru membolehkan ia digunakan untuk menyelam pada kedalaman 100 meter.

Ciri penjejakan kecergasan

Untuk penjejakan kecergasannya pula, Amazfit T-Rex 2 mampu menjejak sehingga 150 jenis sukan dan mampu mengesan sehingga lapan jenis senaman secara automatik. Ia menggunakan lima sistem GPS bersama-sama kompas terbina dalam dan altimeter barometrik bagi membolehkan anda menggunakan jam tangan ini untuk melakukan navigasi dalam masa nyata.

Selain itu, jam tangan ini juga mempunyai fungsi menjejak tidur dan kadar denyutan nadi 24-jam. Fungsi memantau kesihatan ini juga turut diperluaskan dengan menyertakan fungsi mengesan tahap ketumpatan oksigen dalam darah (SpO2) dan juga memantau tahap stres.

Menurut Amazfit, bateri T-Rex 2 berkapasiti 500mAh ini mampu bertahan sehingga 24 hari dengan penggunaan biasa dan sehingga 45 hari di dalam mod jimat bateri. Pada keadaan lampau sejuk serendah -30°C, T-Rex mampu bertahan sehingga sembilan hari dengan GPS dimatikan dan 10 jam jika GPS diaktifkan. Untuk mengecasnya, ia mengambil masa sehingga dua jam untuk penuh melalui pengecas magnetik yang disediakan.

Amazfit T-Rex 2 boleh dibeli sekarang di kedai rasminya di Shopee pada harga RM799. Terdapat empat warna pilihan yang ditawarkan iaitu Astro Black and Gold, Ember Black, Wild Green, dan Desert Khaki.

Tinggalkan komentar