AirAsia telah mengubah penawaran di dalam langganan Super+ dengan menambah pilihan penerbangan percuma dan pelbagai kelebihan-kelebihan lain.
Perubahan ini turut melibatkan harga bagi pelan asasnya yang kini dikenali sebagai AirAsia Super+ Lite iaitu RM888 setahun. Turut diperkenalkan, pelan Premium baharu yang menawarkan langganan pada harga RM2,288 setahun.
- AirAsia Super+ Lite – RM888 setahun
- AirAsia Super+ Premium – RM2,288 setahun
Pakej langganan Lite kini RM249 lebih mahal berbanding penawaran Super+ sebelum ini, sungguhpun menyediakan kelebihan yang sama. Untuk pakej langganan Premium pula, pelanggan boleh mendapatkan akses penerbangan ke negara-negara yang diuruskan oleh kumpulan AirAsia, termasuk:
- Jepun
- Korea Selatan
- Australia
- New Zealand
- India, Bangladesh
- Maldives
- Sri Lanka
- Hong Kong
- Macau
- Taiwan
- Arab Saudi
Berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan, tempahan penerbangan perlu dibeli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh penerbangan. Bagi pakej Super+ Lite pula, penawaran masih lagi terhad kepada penerbangan ke negara-negara di Asia Tenggara.
AirAsia juga menambah diskaun sebanyak 10% untuk penggunaan perkhidmatan AirAsia Ride eHailing (had maksima diskaun, RM2). Turut ditawarkan, diskaun sebanyak 5% untuk tempahan penginapan hotel-hotel AirAsia. Penawaran pelan langganan ini telah mula ditawarkan kepada semua pengguna di seluruh dunia.












