Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025 — AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islamik pertama di Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan foodpanda Malaysia, yang merupakan platform dalam talian penghantaran makanan dan barangan runcit yang terkemuka di negara ini. Kerjasama niaga-ke-niaga (B2B) tersebut disasarkan mampu meningkatkan penerimagunaan perbankan digital di kalangan para pengguna mereka. Ia juga bertujuan untuk memperkasa ekonomi gig Malaysia menerusi penyelesaian teknologi kewangan (fintech) yang inovatif, sambil mendorong keterangkuman kewangan (financial inclusion).
Memorandum Persefahaman (MoU) antara AEON Bank dan foodpanda Malaysia merangkumi pelbagai skop kerjasama, termasuk pemerolehan pelanggan, pembiayaan digital, kempen bersama, dan perkhidmatan tambah nilai untuk para pelanggan, rakan penghantar (rider) dan rakan peniaga di segenap ekosistem mereka.
YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank berkata, “Kerjasama strategik dengan foodpanda merupakan permulaan kolaborasi yang teguh bagi AEON Bank. Ianya berpotensi untuk meningkatkan nilai kepada para peniaga dan rakan penghantar foodpanda menerusi akses kepada perbankan digital, program ganjaran dan perkhidmatan yang memudahkan mereka. Dengan mengoptimumkan rangkaian meluas foodpanda dan menghubungkannya dengan produk perbankan patuh syariah AEON Bank serta program kesetiaan AEON Points, kami berharap ia dapat memberi impak bermakna kepada segmen sasaran tersebut, khususnya pekerja gig dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usaha menjana pertumbuhan dan merangsang keterlibatan.”
Kerjasama ini dirangka secara strategik dan bakal menyumbang ke arah pembangunan sektor penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian yang semakin berkembang pesat di Malaysia, di mana penembusan pengguna dijangka mencapai 34.2% pada tahun 2025 dan lebih daripada 14.5 juta pengguna menjelang 2030.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan AEON Bank bagi memberi manfaat yang terkesan kepada seluruh komuniti foodpanda. Bagi rakan penghantar kami, kerjasama ini pastinya dinanti-nantikan lantaran impak yang melangkaui penghantaran makanan dan barangan kerana ianya menghubungkan akses kepada sokongan kewangan berteraskan teknologi, pembiayaan mikro dan program celik kewangan yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Di samping itu, rakan niaga kami pula akan berpeluang untuk memajukan dan memperluaskan bisnes mereka dengan lebih pantas melalui kempen bersasar dan penyelesaian pembiayaan. Bagi para pelanggan pula, mereka boleh menikmati lebih banyak ganjaran menerusi promosi eksklusif serta akses yang lebih mudah kepada ekosistem runcit AEON. Kerjasama ini bukan sekadar kolaborasi komersil, malah ianya diharapkan bakal memperkasakan rakan penghantar, memacu pertumbuhan bisnes rakan peniaga, serta menceriakan pengalaman setiap pelanggan kami,” ujar Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk.
Pelbagai program utama akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, termasuklah gabungan jenama bersama yang menampilkan dua maskot mereka iaitu Neko oleh AEON Bank dan Pau-Pau oleh foodpanda. Berikut adalah beberapa inisiatif yang sedang dalam perancangan:
Program untuk Rakan Penghantar (Rider)
- Program bersama untuk menyokong komuniti rakan penghantar yang dirangka untuk memudahkan mobiliti dan meneguhkan mata pencarian mereka, antaranya akses kepada khidmat perbankan digital AEON Bank, peralatan kewangan serta sumber keperluan asas kerja seperti pembiayaan mikro untuk pembelian peranti atau telefon mudah alih dan motosikal.
- Inisiatif celik kewangan untuk memperluas capaian dan memperkasa rakan penghantar dari segi kewangan.
Program dan Kempen untuk Rakan Niaga
- Kempen bersasar bersama AEON Bank untuk para peniaga foodpanda.
- Penyelesaian kewangan untuk para peniaga melalui Program AEONBank to Business (AB2B) dan pembiayaan untuk pembelian borong, justeru membolehkan pengembangan inventori dan pertumbuhan perniagaan.
Kempen untuk Pelanggan
- Ganjaran khas dan promosi istimewa untuk para pelanggan, lantas memberikan nilai tambahan bagi pesanan foodpanda mereka.
- Perluasan akses kepada ekosistem runcit AEON yang bakal membolehkan pelanggan membeli barangan runcit dalam talian bukan sahaja dari AEON MaxValu Prime, sekaligus memberi kemudahan kepada pelanggan
Kerjasama antara AEON Bank dan foodpanda Malaysia ini menzahirkan komitmen bersama mereka terhadap peningkatan kesejahteraan kewangan bagi komuniti yang disasarkan, memacu inovasi dan mencetuskan pembangunan sosioekonomi negara melalui keterangkuman digital. Kedua-dua jenama tersebut akan bekerjasama dalam memanfaatkan kekuatan masing-masing, selaras dengan misi strategik untuk menyediakan penyelesaian kewangan digital yang berfokuskan nilai dan mengutamakan pelanggan, justeru memacu pertumbuhan dinamik.
Layari laman web AEON Bank dan foodpanda untuk maklumat lanjut dan ikuti media sosial untuk mengetahui tawaran eksklusif terkini.