SUNGAI BULOH, 16 Jun 2020 – Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), menerima pendaftaran 52 majikan pada hari pertama dibuka secara rasmi, semalam.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pendaftaran majikan itu sekali gus menawarkan hampir 417 jawatan kosong.
“Setakat semalam, PERKESO juga menerima 1,288 panggilan daripada majikan dan pekerja bertanya mengenai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan bawah PENJANA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian faedah Skim Keilatan PERKESO kepada waris pesakit COVID-19, Tengku Endut Tengku Jusoh, 53, yang meninggal dunia di Doha, Qatar.
Faedah itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, di rumah waris mangsa, di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohammed Azman berkata, dengan adanya pendaftaran majikan dan tawaran jawatan kosong itu, lebih ramai akan memperoleh peluang pekerjaan.
“Program ini sangat penting. PERKESO akan terus memantau majikan dan membantu mereka yang mencari pekerjaan, sama ada penganggur, pekerja yang hilang pekerjaan akibat kesan COVID-19 atau graduan yang baru tamat pengajian.
“PERKESO mempunyai 256 kaunselor pekerjaan di seluruh negara, dan kita akan membantu individu yang mencari pekerjaan sama ada mereka itu pencarum ataupun tidak,” katanya.
Melalui PENJANA, beliau berkata, faedah mobilisasi akan diberikan secara ‘one-off’ kepada mereka yang perlu bergerak ke tempat lain bagi tujuan memulakan pekerjaan.
“Sebanyak RM600 dibayar melalui majikan untuk pekerja berpindah melebihi 100 kilometer (satu hala) dari lokasi mastautin pencari kerja.
“Perpindahan membabitkan antara wilayah dari Sabah ke Sarawak atau ke Semenanjung atau sebaliknya pula layak menerima sebanyak RM1,000.
“Ini antara insentif yang diumumkan bawah PENJANA dan bermula secara rasmi, semalam,” katanya.













