Sebuah pangkalan data yang dilihat milik Jabatan Pendaftaran Negara dilaporkan telah diletak untuk jualan di sebuah forum pasaran pangakalan data.
Menurut akhbar Sinar Harian, penjual berkenaan mendakwa ia mengandungi 4 juta data yang diambil dari laman web sebuah agensi kerajaan. Agensi yang dimaksudkan ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi API yang dibuat untuk myIDENTITY.
myIDENTITI merupakan platform perkongsian data kebangsaan untuk sektor awam berkongsi maklumat dari repositori berpusat. 10 buah agensi termasuk LHDN dan JPN berhubung dengan platform yang mula diaktifkan pada Jun 2012.
4 juta data peribadi rakyat Malaysia diiklan untuk jualan. Dikatakan data dari API myIDENTITY pic.twitter.com/UboJAwPlnC
— Adnan (xanda) Mohd Shukor (@xanda) September 27, 2021
Penemuan pangkalan data tersebut telah diketemukan oleh pakar analisis pencerobohan siber, Encik Adnan Shukor.
Penjual di laman terbabit menyatakan pangkalan data tersebut mengandungi pelbagai maklumat penting individu. Antaranya nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat tetap dan surat menyurat, nombor telefon dan alamat emel.
Bukan itu sahaja, pangkalan data tersebut juga mempunyai data yang dibahagikan mengikut tahun kelahiran individu merangkumi dari tahun 1979 sehingga 1998.
Buat masa ini, pihak akhbar Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan kesahihan insiden ini dengan agensi kerajaan yang berkenaan.