Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Gobind Singh Deo telah mengumumkan agihan sebanyak 300,000 unit dekoder MyFreeView secara percuma kepada kelompok isi rumah berpendapatan B40 dan orang kelainan upaya (OKU) di seluruh negara. Beliau turut menjelaskan inisiatif ini merupakan penambahan kepada 2 juta unit dekoder yang telah pun diagihkan pada tahun lepas.
Bermula dari 20 hingga 22 Februari 2020, sebanyak 3,000 dekoder MyFreeView akan diagihkan kepada individu-individu yang layak di Sabah. Pengagihan dekoder percuma ini turut dijalankan di Sarawak dan juga di negeri-negeri lain secara berperingkat.
Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), inisiatif ini merupakan sebahagian dari usaha pihak kerajaan bagi merapatkan jurang digital serta meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat tanpa menyisihkan mana-mana golongan.
MyFreeView buat masa ini menawarkan sebanyak 14 saluran percuma merangkumi RTM 1, RTM 2, TV3, TV Okey, Berita RTM, Sukan RTM, ntv7, 8TV, TV9, TV Al-Hijrah, Bernama TV, Astro Go Shop serta dua saluran interaktif CJ Wow Shop. Perkhidmatan saluran percuma ini juga turut menawarkan 6 saluran radio dan dijangka bakal menambahkan lagi bilangan salurannya di dalam masa yang terdekat ini.
Sabah dan Sarawak merupakan negeri-negeri terakhir yang beralih sepenuhnya ke siaran digital MyFreeView pada 31 Oktober tahun lalu. Seterusnya, menandakan tamatnya perkhdimatan siaran analog percuma di seluruh negara yang mula digunakan sejak dari tahun 1963.
Sumber berita diperoleh dari Facebook KKMM













